Misi Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) bagi membantu para artis dan ahlinya diteruskan ke Sabah menerusi jelajah konsert amal, Legends yang akan diadakan pada 1 November ini.
Artikel Berkaitan: Sahabat Seperjuangan Bantu Ali XPDC Menerusi Konsert Amal
11 pemuzik dan penyanyi
Dianjurkan oleh Karyawan, jelajah ini adalah yang kedua selepas diadakan di ibu kota, Jun lalu dan juga konsert pertama persatuan, di bawah pimpinan Presidennya, Datuk Freddie Fernandez sejak negara dilanda wabak COVID-19.
Pengerusi Karyawan, Dato Khadijah Ibrahim, berkata seramai 11 pemuzik dan penyanyi akan menyertai persembahan di Kota Kinabalu nanti, termasuk Dato Ramli Sarip dan Dato Jamal Abdillah, serta gitaris terkenal, Man Keedal, selain beliau sendiri.
Dijadual berlangsung di Sabah International Convention Centre, menurutnya konsert berdurasi hampir tiga jam itu juga menampilkan penyanyi terkenal kelahiran Sabah, iaitu Azharina Azhar, Jimmy Palikat, Ayu Damit, Mad Sabah, Daniesh Suffian dan Hairee KOOL.
Bagi menambah kehangatan, ujarnya, turut diterbangkan ke Kota Kinabalu nanti ialah bintang yang makin menyerah, Aina Abdul.
Sepertimana konsert di Kuala Lumpur, baru ini, persembahan di Sabah nanti juga bertujuan bagi mengumpul dana untuk Tabung Kebajikan Karyawan dalam usaha membantu meringankan beban para penggiat seni yang memerlukan.
Sejak enam bulan yang lepas, Karyawan telah memberi bantuan kepada lebih 100 artis yang sakit atau kehilangan keupayaan untuk bekerja.
Antaranya ialah Isma Aliff, Ross Ariffin, Rahim Maarof, Zaiton Sameon, Sofia Ibrahim, Zaleha Hamid, Fredo dan ramai lagi.
Berbanding konsert terdahulu, selain saya sendiri, turut disenaraikan adalah Dato Ramli Sarip dan Dato Jamal Abdillah, dan gitaris terkenal, Man Keedal. Empat legenda di satu pentas tentunya akan memberikan energi luar biasa pada majlis yang dijangka meraih kehadiran sehingga 2,500 orang.
Tidak lengkap malam tanpa persembahan bakat-bakat besar Sabah, antaranya Azharina dan Ayu Damit selain kejutan manis daripada Aina Abdul. Ini juga antara usaha Karyawan dalam mengenengahkan generasi pelapis agar industri seni tanahair terus bersemarak.
Kehadiran VVIP
Karyawan juga, katanya, mengalu-alukan kehadiran Tuan Yang Terutama Yang diPertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin sebagai Tetamu Kehormat; dif-dif kehormat yang lain seperti Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Seri Mohamad Sabu; Timbalan Ketua Menteri 1 merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, serta Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Haji Sabin Samitah.
Jualan meja, 10 orang semeja, telah mula dibuka pada harga RM3,000, RM5,000, RM10,000, RM20,000 dan RM50,000. Bagi penajaan meja VIP RM100,000, penawaran merangkumi manfaat sebagai rakan penaja sepanjang promosi membabitkan penganjuran majlis.
Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Freddie di 012-2071400, atau Azman di 016-2338888/ 016- 2302621. Usaha yang dilakukan Karyawan ini, menurut Khadijah, selaras dengan saranan Presidennya untuk memastikan bantuan berterusan dapat dilaksanakan, terutama bagi membantu penggiat seni yang uzur dan tiada upaya untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Jelasnya, kejayaan penganjuran malam Legends, sebelum ini yang berhasil mengumpul dana lebih RM100,000 telah mendorong Karyawan untuk merancang bagi membawa majlis berkenaan ke Johor Bahru, nanti.
Sebagaimana diumumkan Presiden Karyawan, Datuk Freddie, matlamat utama acara ini adalah untuk mengumpul dana bagi membantu penggiat seni veteran yang berdepan kesulitan hidup, apatah lagi yang uzur dan hilang sumber pendapatan, dan memerlukan sokongan secara konsisten.
Karyawan mempunyai senarai yang panjang bagi penggiat seni yang memerlukan perhatian. Seramai 15 anak seni telah disenaraikan sebagai penerima bantuan menerusi majlis di Sabah ini, cuma kami berharap lebih banyak dana dapat dikumpul agar lebih ramai dapat dibantu.
Sokong kegiatan pelancongan di Sabah
Justeru, katanya, Karyawan juga mengambil kesempatan untuk meraikan beberapa anak seni Sabah yang akan diundang sebagai tetamu pada malam berkenaan dalam usaha memperkukuhkan hubungan selain sebagai tanda kepedulian persatuan.
Jelas Khadijah lagi, Kota Kinabalu dipilih sebagai lokasi kedua jelajah malam Legends ini, antara lain untuk menyokong kegiatan pelancongan di Sabah, selain memenuh permintaan peminat, termasuk daripada Brunei.
Penampilan penyanyi dan pemuzik legenda pada malam seeksklusif ini tentunya dapat memanfaatkan peminat, termasuk daripada Brunei dan Sarawak, malah ada juga pertanyaan diterima daripada peminat di Singapura.
Sambil berhibur dan beramal, malam Legends ini juga dilihat sebagai sebahagian daripada acara untuk menarik kehadiran pelancong ke Sabah, sekali gus menyokong industri dan ekonomi negeri.