berita

16 Pesawat China Masuk Ruang Udara Malaysia, ‘Ingkar’ Arahan Hubungi Pusat Kawalan Trafik Udara

June 1st, 2021 | by Zulaikha
Kini Trending

Foto: TUDM

Menerusi satu kenyataan media pihak Panglima Tentera Udara sebentar tadi, pihak Tentera Udara Malaysia (TUDM) berjaya mengesan penerbangan mencurigakan melibatkan 16 buah pesawat Tentera Udara Republik China (PLAAF) yang bertindak memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR) pada 31 Mei, semalam.

Ubah arah penerbangan

Foto: TUDM

Ujar Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad, penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut telah dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 malam waktu tempatan.

Pesawat-pesawat tersebut telah dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain. Formasi panjang tersebut juga telah terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar.

Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara.

Tambah Ackbal lagi, pesawat-pesawat berkenaan pada mulanya telah dikenal pasti terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapura sebelum memasuki ruang udara negara serta Kota Kinabalu.

Mereka seterusnya terbang menghala menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara. Pihak TUDM telah meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM.

Mengarahkan untuk menghubungi kawalan trafik

Foto: TUDM

Tidak berakhir di situ, pemantauan menerusi radar pertahanan udara diteruskan ke atas pesawat-pesawat ini di samping beberapa percubaan yang dilakukan untuk mengarahkan mereka menghubungi kawalan trafik udara Kota Kinabalu.

Susulan pesawat tersebut gagal mematuhi arahan yang diberikan, pihak TUDM telah melancarkan pesawat-pesawat pemintas pada jam 1.33 petang untuk melakukan identifikasi visual.

Hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, TUDM telah mengenal pasti pesawat-pesawat tersebut adalah daripada jenis llyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20. Pesawat-pesawat jenis ini merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi.

Insiden ini merupakan perkara yang serius terhadap ancaman kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan berdasarkan kepadatan trafik udara dalam laluan penerbangan (Airways) di Kota Kinabalu.

Kenyataan media

 

Sumber: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)

SKIP THIS AD ×