berita

18 Tahun ‘Sembunyi’, Pembunuh Licik Keluarga Ini Dikesan Melalui Rancangan TV

October 7th, 2020 | by Zulaikha
Kini Trending

Suami merupakan ketua dan bapa dalam sesebuah keluarga yang amat disanjung tinggi. Pengorbanan dan kasih sayang seorang bapa tiada tandingan kerana sanggup berhempas pulas demi mencari rezeki bagi menyara keluarga.

Namun, ini kisah yang terjadi di West Field, New Jersy, apabila seorang lelaki yang dikenali sebagai John List sanggup membunuh emak, isteri dan ketiga-tiga anaknya disebabkan kekurangan wang ketika itu dan kes ini terjadi sekitar tahun 1971. Setelah dia membunuh kelima-lima mangsa ini dia kemudiannya menghilangkan diri selama 18 tahun.

Siapa John List?

John List dilahirkan pada November 1950  di Bay City Michigan dan merupakan anak tunggal kepada pasangan John Frederic List dan Alma Maria Barbara Florence. John merupakan seorang penganut agama Lutheran yang sangat taat kepada agamanya. Dia juga merupakan seorang berpelajaran tinggi dan berjaya memperoleh ijazah sarjana muda dalam beberapa bidang iaitu pentadbiran perniagaan dan perakaunan. Setelah menamatkan pengajiannya, John mula berkenalan dengan seorang janda yang dikenali sebagai Helen.

Di usia awal perkenalan mereka Helen pernah mendakwa bahawa dia sedang hamil anak kepada John. Menyedari tanggungjawab itu, John membuat keputusan untuk berkahwin dengan Helen walaupun sebenarnya Helen telah menipunya berkenaan dia hamil sebelum itu. Pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata sepanjang empat tahun perkahwinan mereka. John dikenali sebagai seorang sangat rajin bekerja dan begitu komited terhadap tugasnya sebagai seorang akautan.

Hasil kegigihan serta kerja keras John dalam bidang pekerjaannya juga menjadi berbaloi apabila dia kemudiannya telah dilantik menjadi Naib Presiden untuk sebuah bank yang terletak di bandar New Jersey. Walaupun baru sahaja memegang jawatan besar itu, John bertindak berani dengan membeli sebuah rumah agam mewah yang dikenali sebagai Breze Knoll yang mempunyai 19 bilik. Rumah agam itu dibeli khas bagi menjamin keselesaan mereka sekeluarga. John juga ketika itu turut membawa ibunya Alma, untuk tinggal di rumah mewah tersebut.

Mula bankrap

Foto: Grimhappenings

Namun, kemewahan yang dikecapi mereka sekeluarga tidak bertahan lama apabila John telah dipecat walaupun baru sahaja setahun bekerja. Tetapi, rahsia ini disimpan rapat oleh John seorang diri kerana tidak mahu membebankan ahli keluarganya. John setiap hari akan berpura-pura pergi bekerja bagi mengaburi mata keluarganya dan dia terpaksa mencari kerja lain bagi menampung segala perbelanjaan walaupun terpaksa menerima gaji yang rendah. Dia juga tidak mempunyai kerja yang tetap dan sering bertukar tempat kerja dalam satu tempoh yang panjang.

Keadaan menjadi buruk apabila anak-anak John sudah mula membesar dan semakin sukar untuk dikawal. Lagi menyedihkan tahap kesihatan isterinya Helen kian merosot dan mempunyai masalah penglihatan serta kerap pengsan. John ketika itu terpaksa menggunakan wang simpanan ibunya bagi menampung segala kos perbelanjaan harian. Tanpa berfikir panjang dia berniat untuk menghantar ibu, isteri dan anak-anaknya ke ‘syurga’ dengan cara yang pantas.

Episod bunuh bermula

Foto: Google

Episod pembunuhan bermula apabila Helen dijadikan sebagai mangsa pertamanya apabila anak-anak mereka pergi ke sekolah. Helen ketika itu sedang menghirup kopi di dapur sebelum ditembak John pada bahagian belakang kepala. Setelah Helen dibunuh John bertindak ke tingkat atas untuk membunuh ibunya sendiri Alma. Ketiga-tiga anak John yang dikenali sebagai Patricia, 16 tahun, John Jr, 15 tahun, dan Frederick, 13 tahun turut menerima nasib yang sama ditembak sebaik sahaja pulang dari sekolah.

Setelah kesemua telah dibunuh, John bertindak mengumpulkan semua mayat di sebuah bilik yang besar kecuali mayat ibunya. Pembunuhan ini telah dirancang secara teliti dan rapi oleh John, dia juga sempat memberitahu guru di sekolah anaknya bahawa mereka sekeluarga akan berangkat pergi ke North Carolina untuk melawat saudara mereka yang sakit. John juga ketika itu sempat menghentikan segala kiriman surat, langganan surat khabar dan perkhidmatan penghantaran susu ke rumah.

Sebelum John pergi meninggalkan rumah agam tersebut, dia sempat menulis dan meninggalkan surat pengakuan mengenai tindakannya kepada paderi. John ketika itu bertindak bijak apabila menghidupkan penghawa dingin, lampu rumah dan muzik bagi memberi ‘hint’ bahawa rumah agam tersebut masih berpenghuni dan tidak seperti ditinggalkan. John juga bertindak memotong kesemua gambar wajahnya yang disimpan di dalam rumah tersebut sebagai usaha untuk menyukarkan pihak polis menjejakinya.

Kehilangan mula disedari

Foto: The Line Up

Selepas sebulan tragedi itu berlaku, guru kepada anak-anak John mula menyedari kehilangan anak muridnya. Guru yang dikenali sebagai Patricia bersama guru-guru yang lain telah bertindak pergi ke rumah John untuk menyiasat misteri kehilangan anak muridnya. Setibanya di tempat kejadian, jiran kepada John bertindak untuk menghubungi pihak polis. Paling mengejutkan apabila pihak polis menjumpai mayat Alma, Hele, Patrcia, John Jr dan Frederick dalam keadaan yang menyeramkan. Malahan, muzik di rumah agama tersebut masih tetap berfungsi seperti biasa.

Pihak berkuasa ketika itu berusaha keras untuk menyelesaikan kes tersebut namun gagal kerana tiada sebarang petunjuk yang boleh membantu siasatan. Tetapi, bukti terakhir yang dimiliki oleh pihak polis adalah jejak John yang berada di lapangan terbang selepas waktu kejadian. Malangnya, tiada sebarang rekod penerbangan John selepas kejadian itu berlaku. Lama kelamaan kes ini semakin dilupakan oleh pihak berkuasa.

Rancangan America’s Most Wanted

Foto: Allthatinteresting

Namun sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga apabila maklumat terperinci tentang pembunuhan keluarga John telah disiarkan dalam rancangan America’s Most Wanted. Pengacara rancangan itu Walsh, bertindak bekerjasama dengan seorang pengukir forensik dikenali Frank Bender, untuk mengukir patung John List. Frank turut dibantu oleh seorang pakar psikologi forensik yang dikenali sebagai Richard Walter. Mereka berdua menyelesaikan tugasan mereka dengan menggunakan gambar ibu bapa John sebagai rujukan.

Ketika program itu disiarkan pada 21 Mei 1989, program itu telah disaksikan seramai 22 juta penonton termasuk seorang wanita dikenali Wanda Flanery. Wanda mendapati ciri-ciri John yang diceritakan dalam program itu menyerupai bekas jirannya iaitu Bob Clark, lelaki akauntan berkaca mata penganut agama Luteran. Setelah mendapati ciri-ciri Bob menyerupai John, dia bertindak untuk menghubungi pihak polis bagi memberikan maklumat lanjut mengenai Bob.

Pihak polis mengambil masa 11 hari untuk menjejaki Bob dan akhirnya pihak polis mendapati rupanya Bob Clark merupakan John List yang dicari selama ini yang telah menghilangkan diri selama 18 tahun.

Hukuman penjara

Gambar sekadar hiasan

Akhirnya, John telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan membunuh ahli keluarganya. John akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam penjara pada bulan Mac,2008 akibat penyakit pneumonia. John ketika ditemu bual menyatakan dia tidak membunuh diri selepas melakukan pembunuhan tersebut kerana perbuatan membunuh diri merupakan satu dosa besar yang akan menghalangnya ke syurga.

Rumah agam John juga telah dibakar selepas kejadian pembunuhan itu berlaku.

Sumber: AllthatinterestingJack Lester Grimhappenings

SKIP THIS AD ×