Melakukan aktiviti lasak seperti mendaki gunung bukanlah sesuatu aktiviti yang mudah. Tentunya pelbagai persiapan dari segi fizikal dan mental perlu dilakukan oleh seseorang individu sebelum melaksanakan aktiviti tersebut.
Menerusi Facebook Siti Aminah Borhan, dia berkongsi kisah kejayaannya menawan puncak Gunung Kinabalu bersama anak perempuannya Sofia, yang baru berusia tiga tahun. Meskipun menerima kecaman daripada segelintir netizen kerana membawa anak, wanita tersebut membuktikan dia mampu menamatkan aktiviti pendakian tersebut. Tahniah!
Alhamdulillah kami berjaya sampai
Menerusi laporan Harian Metro, Siti Aminah yang merupakan seorang jurulatih kecergasan dan penyampai radio di salah sebuah stesen penyiaran memberitahu bahawa dia dan anaknya memulakan pendakian pada 28 Januari yang lalu dan mengambil masa hampir 19 jam untuk tiba di puncak Gunung Kinabalu.
Alhamdulillah, kami berjaya sampai. Bukan senang tetapi perjalanan menaiki dan turun dari puncak adalah kenangan yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Sebenarnya, saya tiada perancangan serius untuk melakukan misi berkenaan kerana setiap pendaki perlu membuat tempahan beberapa bulan lebih awal tetapi bergantung kepada kekosongan.
Rezeki saya apabila tarikh diberi tidak bercanggah dengan jadual kerja dan sejak awal lagi, saya bercadang membawa Sofia bersama. Syukurlah, perancangan itu dipermudahkan dan sepanjang perjalanan, Sofia tidak meragam malah ada ketikanya, dia (Sofia) berjalan sendiri tanpa perlu didukung sepanjang masa.
Persediaan sebelum mendaki
Mengenai persediaan sebelum mendaki, Aminah memberitahu dia hanya melakukan latihan selama dua hari di Bukit Maragang, Kundasang, Sabah sebelum misi tersebut bermula. Ini kerana, dia mempunyai jadual tugas yang sangat padat.
Jalan puncak Kinabalu dia macam tangga yang tak habis. Tengok tangga macam nak menangis. Masa 4km, mental dah kacau, bila nak sampai ni. Ya Allah apa aku buat ni? Patutnya i just stay at home and relax, 5km tiba-tiba hujan, oksigen dah makin kurang, makin sejuk, lepas tu hujan lebat. Ya Allah dugaan, lain macam.
Rasa nak menangis dan nak balik. Tapi sofia? Sangat memudahkan, hujan pun duduk diam dalam carrier. Berjam- jam dalam carrier, and dia pun jalan sendiri, seolah dia faham mummy dah sakit mentally and kaki semua. Tak sikit pun dia cakap nak balik atau pun merepek buat tantrum . Hujan basah pun dia senyap . Dia enjoy the journey.
Tambahnya, pendaki lain turut memberi semangat buat mereka semasa mendaki gunung tersebut.
Dibantu seorang doktor dan malim gunung
Mengulas mengenai kecaman yang dilemparkan oleh netizen, Aminah menjelaskan bahawa dia dan anaknya dibantu oleh seorang doktor dan malim gunung sepanjang misi pendakian Gunung Kinabalu itu.
Yang tanya tentang keselamatan Sofia, saya bukanlah berseorangan. Saya bersama Dr Muaz, untuk memastikan Sofia dalam keadaan okay dan dia membantu kami dalam perjalanan.
Berhubung isu membawa Sofia bersama, Aminah memaklumkan bahawa dari kecil anaknya itu sudah didedahkan dengan aktiviti riadah. Oleh hal yang demikian, tiada masalah yang berlaku sepanjang perjalanan membawa anaknya itu. Sebagai seorang ibu, Aminah berharap dengan pencapaian anaknya itu, dia mampu mencabar satu rekod dalam Malaysia Book Of Record berkenaan kanak-kanak termuda berjaya sampai diketinggian tersebut.
Sumber: Siti Aminah Borhan & Harian Metro