Sudah acapkali kita mendengar kes bayi meninggal dunia akibat tercekik susu. Boleh dikatakan setiap tahun pasti ada berita mengenai bayi maut akibat tersedak susu di rumah atau di pusat jagaan. Walau bagaimanapun, perkara ini boleh diatasi sekiranya dikawal dengan menggunakan langkah mahupun teknik tertentu. Antara punca berlakunya gejala tersedak susu adalah disebabkan posisi bayi dan proses menyusu yang tidak betul, injap tidak matang dan bayi tidak sedawa selepas menyusu.
Terbaru, seorang bayi perempuan berusia 11 bulan meninggal dunia dipercayai tersedak susu semasa berada di salah sebuah taska di Alor Setar.
2 kali tak sedarkan diri
Menerusi Astro Awani, sebelum kejadian, bayi tersebut dikatakan berada dalam keadaan sihat semasa dihantar oleh ibunya ke taska berkenaan.
Walau bagaimanapun, sekitar tengahari, pengasuh yang bertugas di taska tersebut menyedari bayi terbabit tidak sedarkan diri sebelum dia dikejarkan ke Klinik Kesihatan Jalan Putra untuk mendapatkan rawatan.
Bawa semula ke klinik
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Superintendan Mohd Ridzuan Salleh berkata, bayi berkenaan dikatakan telah sedarkan diri dan diberi susu sebelum dibawa pulang semula ke taska.
Bagaimanapun, selepas dibawa pulang bayi tersebut dikatakan sekali lagi tidak sedarkan diri dan pengasuh telah menghubungi ibu mangsa untuk memaklumkan kejadian itu.
Bayi itu sekali lagi tidak sedarkan diri sebaik tiba di taska menyebabkan pengasuhnya menghubungi ibu mangsa dan membawanya semula ke klinik sama.
Meninggal akibat tersedak susu
Susulan itu, Harian Metro turut melaporkan bayi perempuan itu disahkan meninggal dunia di klinik berkenaan sebelum mayatnya dibawa ke jabatan forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk dibedah siasat.
Hasil bedah sisatan mendapati bayi tersebut meninggal dunia akibat tersedak susu.
Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan polis sudah mengambil keterangan ibu mangsa dan pengasuh taska berkenaan untuk membantu siasatan.
Sumber: Astro Awani, Harian Metro