Walaupun sudah 5 tahun bergelar anak seni, nama penyanyi yang dilahirkan daripada program realiti televisyen ini dilihat agak kurang menyerlah dalam industri.
Dek kerana kurangnya publisiti, timbul desas-desus yang mengatakan bahawa Akim Ahmad hanyalah sekadar artis picisan yang semakin jatuh popularitinya.
Terkini, Akim ketika ditemui di sidang media Hafiz& Friends Live Showcase mengakui bahawa dia sedar mengenai perkara tersebut dan turut menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap pihak produksi syarikat naungannya sekarang.
Akim Ahmad tidak puas hati dengan pihak produksi syarikat naungannya
“Saya tidak puas hati bukan dengan pihak pengurusan, tetapi dengan pihak produksi sebab mereka ada kronisme dan sikap pilih kasih yang sangat tinggi.
Kontrak saya bersama produksi tersebut adalah selama 5 tahun, tetapi kini dah masuk tahun kedua saya tidak terlibat dengan produksi tersebut. Mereka tidak undang saya untuk program mereka.”
Mengakui bahawa lebih banyak menerima tawaran daripada pihak produksi yang lain, Akim memaklumkan bahawa dia pernah berbincang dengan pihak pengurusannya mengenai perkara ini.
“Saya tidak puas hati dengan pihak produksi kerana produser yang akan memilih siapa yang mereka mahu. Saya tak tahu apa masalah saya ataupun masalah mereka dan saya tak nak ambil tahu pun. Bagi saya itu masalah mereka.
Sebaliknya, saya cukup berpuas hati dengan pihak pengurusan saya sekarang. Pihak pengurusan hanya uruskan artis sahaja dan mereka menerima permintaan, sebaliknya yang meminta itu adalah pihak produksi. Malah, pihak pengurusan sangat suka apabila saya dapat tembusi syarikat produksi yang lain.”
Dalam pada itu, Akim yang kini mahu kembali fokus dalam bidang nyanyian telah mengeluarkan single terbarunya berjudul ‘Mewangi’.
Buat peminat yang rindukan kelunakan suara jejaka ini, apakata mari kita dengar dahulu single daripada Akim & The Majistret di bawah! Best!