berita

20 Tahun Jadi Pelayan Seks, Menagih Dadah Hingga Disisih Anak, Suka Duka ‘Hidup Lorong’

April 8th, 2021 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Siapa tidak kenal dengan Hazeman Huzir yang sememangnya terkenal sebagai pengacara yang serba boleh. Sejak berubah pada tahun lalu, Hazeman atau lebih mesra disapa sebagai Haze kini dilihat sering berkongsi perkara-perkara positif di Youtube mahupun media sosialnya.

Terbaru, Haze berkongsi video dakwah yang dilakukan olehnya bersama TV Alhijrah ketika berada di lorong Haji Taib. Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai yang rata-ratanya tersentuh apabila salah seorang pelacur berkongsi pengalamannya.

20 tahun kerja sebagai ‘pelayan seks’

Menerusi temu bual yang dilakukan oleh Haze, seorang wanita yang dikenali sebagai Kak Ida berkongsi kisah mengenai kehidupannya. Menurut Ida, dia sudah bekerja sebagai pelayan seks selama 20 tahun. Tambahnya, dia mula mengambil dadah sejak bekerja di sebuah kelab malam. Disoal mengenai sama ada dia mempunyai anak ataupun tidak, Ida berusia 49 tahun turut memberitahu bahawa dia mempunyai empat orang anak lelaki dan dua orang anak angkat.

Anak-anak saya pernah datang sini untuk hantar duit. Kadang-kadang mereka hantar makanan dekat saya. Alhamdulillah semua dah ada kerja. Saya ada sembilan orang cucu. Saya tak pernah tunjuk dekat depan anak-anak saya bila saya ambil dadah walaupun mereka tahu mengenai hal tersebut. Semua anak-anak saya tak ambil dadah.

Bercerita lebih lanjut, Ida mengaku bahawa dia sukar untuk berhenti mengambil dadah. Oleh itu, dia dan anak-anak telah berselisih faham sejak sebulan yang lalu.

Habis RM150 sehari

Saya janji dekat anak-anak tapi saya tak kuat. RM150 sehari habis dekat dadah. Habis semua simpanan saya. Sebab itu anak saya marah. Saya faham sebab itulah punca kami salah faham. Sebagai seorang anak, mereka mungkin berada di situasi tengah-tengah di antara keluarga dan ibu mereka.

Saya dan kawan-kawan tidur dalam kotak dekat lorong ni. Kadang-kadang tepi jalan. Lepas bangun tidur, saya hisap dadah dulu, lepas tu cari kotak nak jual balik.

Mengenai tempat tinggal, Ida dan rakan-rakannya hanya tidur di dalam kotak. Ini kerana, mereka tidak mampu membayar sewa bilik iaitu sebanyak RM50 sehari.

Saya ada kanser payudara dan doktor cakap dah kronik tahap 4. Baru-baru ni saya positif Covid-19. Saya menyesal sangat pun ada. Tapi saya tak nampak jalan. Ada kawan-kawan saya yang meninggal dekat lorong ini sebab tak ada keluarga. Doktor ada bagitahu yang saya mempunyai peluang 50 peratus untuk hidup. Dia cakap juga dekat keluarga saya. Tapi saya percaya ajal dan maut Allah yang tentukan.

Di hujung video tersebut, rata-rata netizen tersentuh apabila Ida membuat pengakuan bahawa dia merupakan salah seorang penghidap kanser payudara tahap 4. Lebih meruntun jiwa, dia baru sahaja bebas daripada wabak Covid-19. Mendengar pengakuan tersebut, Haze menganggap semua yang berlaku mempunyai hikmah dan Ida masih mempunyai peluang untuk bertaubat kepada Allah dan mengubah kembali kehidupannya.

Haze turut meluahkan hasratnya untuk membantu Ida keluar dari lorong tersebut. Jelas Hazem dia akan kembali semula ke lorong berkenaan untuk membawa Ida ke pusat pemulihan. Tetapi dia tidak mahu memaksa Ida sekiranya wanita itu tidak rela dan bersedia. Tambah Haze, dia akan cuba menyatukan Ida dengan anak-anaknya kembali. Haze turut meluahkan rasa syukur kerana dapat pergi ke lorong yang sama dan yang pernah dilaluinya pada suatu masa dahulu bagi tujuan yang berbeza.

Sumber: Hazeman Huzir

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×