berita

298 Buah Sekolah Di Daerah Petaling Diarah Tutup Bermula 12 Oktober

October 11th, 2020 | by Zulaikha
Kini Trending

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataan media memaklumkan bahawa semua sekolah yang berada di kawasan zon merah di Petaling, Selangor akan ditutup bermula 12 Oktober 2020 sehingga 25 Oktober 2020.

Penutupan sekolah ini melibatkan sebanyak 298 buah sekolah di seluruh daerah Petaling.

Zon merah

Gambar sekadar hiasan

Penutupan sekolah di daerah Petaling dibuat berikutan peningkatan kes Covid-19 di daerah Petaling dan daerah tersebut telah disahkan sebagai zon merah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Keputusan ini juga dibuat selaras dengan perutusan Khas YAB Perdana Menteri pada 6 Oktober 2020 berhubung keputusan kerajaan untuk menutup sekolah di kawasan-kawasan yang disahkan zon merah oleh KKM.

Bagi sekolah yang mempunyai asrama termasuk Kolej Vokasional juga akan ditutup. Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang ke rumah masing-masing. Namun, jika murid ingin terus kekal berada di asrama sekolah dan Kolej Vokasional sepanjang tempoh penutupan sekolah, mereka akan berada di bawah penjagaan warden asrama. Kebajikan mereka juga turut akan dijaga oleh pihak sekolah.

Dalam tempoh penutupan sekolah ini, proses pengajaran dan pembelajaran akan tetap berjalan di rumah mengikut kesesuaian guru dan murid-murid.

Jadual semula percubaan SPM

Gambar sekadar hiasan

Pihak sekolah boleh menjadualkan semula peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi sekolah-sekolah yang terlibat dengan penutupan sekolah pada satu tarikh yang bersesuaian.

Dalam hal ini, KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara serta sentiasa bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM. Sebarang pemakluman berhubung penutupan sekolah bagi daerah daerah lain akan dibuat dari semasa ke semasa.

Untuk maklumat lanjut ibu bapa dan pelajar boleh melayari portal KPM  dan laman sosial KPM untuk mendapatkan info-info yang terkini.

Senarai sekolah ditutup Daerah Petaling Utama

Senarai sekolah yang ditutup Daerah Petaling Perdana

Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia

SKIP THIS AD ×