Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), telah mengeluarkan satu arahan terhadap semua individu yang pulang dari Sabah agar menjalani ujian saringan kesihatan Covid-19 di Pintu Masuk Antarabangsa bermula semalam sehingga 10 Oktober.
Di Facebook Mohamad Nazri, lelaki ini memuat naik satu posting mengenai bilangan petugas kesihatan yang ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sangat sedikit jika dibandingkan penumpang yang berada di kawasan tersebut.
Sudah 3 jam menanti
Sudah 3 jam menanti. Tanpa taklimat atau arahan spesifik. Tanpa makanan dan minuman. Fikirkanlah anak-anak kecil & warga emas yang ada. Kalau dah bersesak-sesak sebegini, tiada Covid-19 pun boleh kena jangkitan. Takkan 4-5 orang sahaja Petugas Kesihatan yang ditempatkan di KLIA untuk buat saringan Covid-19 bagi ribuan penumpang yang terbang dari Sabah? Hari ini Ahad, tambahan pula baru habis PRN Sabah, sudah pastilah banyak penerbangan dari Sabah.
Menurut Nazri, dia terpaksa menunggu selama tiga jam ketika hendak menjalani ujian saringan Covid-19. Tambahnya, hanya empat hingga lima orang petugas kesihatan sahaja yang bertugas pada masa tersebut. Ujarnya lagi, situasi tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana semalam merupakan hari Ahad dan sudah semestinya ramai yang akan pulang dari Sabah.
Nazri turut meluahkan perasaan bimbang apabila melihat kanak-kanak dan warga emas sedang berada dalam keadaan yang sesak pada waktu tersebut. Dia turut berharap pihak Kementerian Kesihatan mampu menyediakan lebih ramai petugas kesihatan di pintu masuk itu.
Tambah kakitangan
Susulan daripada itu, KKM telah menambah kakitangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA dan KLIA 2).
Peraturan baharu itu bermula hari ini dan mereka dipakaikan gelang kuarantin dan diwajibkan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).
Mereka diwajibkan untuk memuat turun dan mendaftar aplikasi MySejahtera dan daftar masuk menggunakan aplikasi ini setibanya di Pintu Masuk Antarabangsa dan menjalani saringan gejala jangkitan saluran pernafasan. Mereka juga akan menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 sejurus tiba di Pintu Masuk Antarabangsa dan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).
Pihak KKM juga turut mendengar rungutan daripada masyarakat berhubung masalah kesesakan di kedua-dua lapangan terbang berkenaan berikutan kekurangan kakitangan KKM. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu dengan adanya pemantauan ini, kadar penularan wabak Covid-19 dan jangkitan dapat dikawal.
Sumber: Mohamad Nazri & Harian Metro