Kejadian struktur bumbung asrama yang runtuh di Wisma Yatim Perempuan Islam Pulau Pinang Jalan Scotland, Georgetown malam tadi melibatkan sekurang-kurangnya tiga penghuni tercedera.
Artikel Berkaitan: Bagi Alasan Ambil Barang Di Asrama, 3 Pelajar Tingkatan 2 Dicekup Warden Selepas Tarik Seluar Pelajar Perempuan Ketika Tidur
Artikel Berkaitan: Insiden Kren Runtuh Di Kilang Ragut 2 Nyawa
30 penghuni asrama terlibat
Menurut, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Jamil Abdullah, terdahulu pihaknya menerima panggilan kecemasan tersebut pada jam 9.42 malam.
Ketika di lokasi didapati kejadian membabitkan runtuhan bumbung bangunan asrama berkenaan. Terdapat seramai 30 orang mangsa dan berjaya diselamatkan oleh kakitangan asrama manakala mangsa yang cedera sudah diberi rawatan awal.
Pasukan bomba dan pihak polis yang tiba ke lokasi kejadian segera menguruskan mangsa yang terselamat dalam kejadian bumbung runtuh itu dan sudah dipindahkan sementara ke asrama Wisma Yatim Laki-laki Islam Pulau Pinang, Air Itam.
Tiga mangsa cedera kini stabil
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong memberitahu, kesemua penghuni asrama yang terselamat dibawa ke asrama sementara dengan menaiki kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang. Tambahnya lagi, kesemua mangsa terlibat yang tercedera telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan dan kini dilaporkan stabil.
Tiga mangsa cedera, Nur Jannah Motaleb, 8, Nur Batrisya Balqis Mohd Raffei, 10, dan Siti Syahirah Zulkipli, 13, kini stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.
Mangsa yang berusia lapan tahun mengalami cedera, mangsa berusia 10 tahun mengalami sakit leher, manakala seorang lagi berusia 13 tahun mengadu sakit pada bahagian belakang dan mereka mungkin akan menjalani pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada kecederaan dalaman.
Menurut laporan, ketika kejadian, hanya ada tiga mangsa berkenaan sedang berehat, manakala sebahagian yang lain sedang tuisyen dan mengambil makanan. Malah, siasatan awal mendapati, runtuhan itu membabitkan struktur bumbung asrama, di bahagian tempat tidur asrama yang menempatkan seramai 30 anak yatim meliputi kanak-kanak darjah satu hingga tingkatan enam.
Setakat ini, kita dapati kejadian tidak membabitkan unsur khianat namun siasatan masih dilakukan dan wisma ini ditutup sementara bagi siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian
Sumber: Harian Metro