Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh 19 November sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Setiap undi amat berharga kerana ianya bakal menjadi penentu kepada pemilihan parti yang bakal memerintah negara untuk tempoh lima tahun.
Pengundi disarankan supaya tidak mendengar hasutan daripada sesetengah pihak yang mahu memboikot atau tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada pada PRU15 nanti. Berikut 5 sebab kepada setiap undi sangat berharga untuk Malaysia.
Kepentingan setiap undi?
Sumber: ECentral
Kalau korang nak tahu, setiap undi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) sangat penting untuk masa depan negara terutamanya bagi menentukan pemerintahan yang adil dan saksama. Oleh itu, penting bagi semua rakyat Malaysia untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing. Berikut merupakan kepentingan bagi setiap undian:
Keputusan PRU Lebih Adil Bila Ramai Mengundi
Foto: Utusan Malaysia
Rakyat Malaysia yang sudah mencapai umur 18 tahun sebenarnya telah didaftarkan secara automatik untuk mengundi menerusi Pendaftaran Pemilihan Secara Automatik (PPSA) yang telah dikuatkuasakan sejak 15 Disember 2021. Untuk rekod, seramai 4 juta anak muda di Malaysia telah didaftarkan sebagai pengundi secara automatik. Justeru, golongan muda seharusnya mengambil peluang ini untuk sama-sama membuang undi bagi memilih parti politik yang mampu memenuhi cita-cita dah harapan mereka.
Sementara itu, menerusi laporan Utusan Malaysia, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) memaklumkan lebih 21 juta pengundi berdaftar dijangka mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini. Peningkatan angka dan peratusan pengundi ini juga menyumbang kepada keseimbangan jumlah undi bagi setiap parti yang bertanding sekaligus memberikan keputusan PRU-15 menjadi lebih adil dan saksama.
Penentuan Pemerintah Yang Bakal Mentadbir Negara
Foto: Astro Awani
Secara keseluruhan, sebanyak enam blok parti politik bersama parti gabungan akan bertanding dalam PRU-15 dan setiap daripada parti tersebut mempunyai manifesto serta hala tuju masing-masing.
Sebagai contoh, parti politik Barisan Nasional (BN) berjanji untuk menghapuskan kemiskinan mutlak melalui Skim Bantuan Pendapatan Asas yang dikreditkan secara automatik setiap bulan kepada semua isi rumah berpendapatan kurang daripada RM2,208 sebulan. Bukan itu sahaja, BN turut menjanjikan pengajian tinggi secara percuma kepada semua individu dari keluarga B40.
Manakala Pakatan Harapan (PH) menjanjikan untuk menangani isu kos sara hidup rakyat Malaysia, perangi rasuah dan kukuhkan institusi demokrasi selain menyelamatkan ‘generasi tercicir’ dalam pendidikan.
Antara manifesto parti Perikatan Nasional (PN) pula adalah untuk membersihkan politik dan tadbir urus dengan menaikkan kadar elaun sara hidup (COLA) penjawat awam RM100 dan akan diselaras secara berkala bagi meringankan beban kos sara hidup penjawat awam. Selain itu, PN menjanjikan untuk mengoptimumkan potensi wanita dengan meningkatkan kadar Skim Perlindungan Suri Rumah kepada RM800, dengan caruman minimum suri rumah sebanyak RM100.
Oleh itu, kita seharusnya mengambil tahu setiap hala tuju parti politik dan perkembangan politik semasa sebelum mengundi. Hal ini kerana, rakyat akan lebih yakin bahawa pemilihan mereka adalah tepat bersesuaian dengan apa yang diharapkan selain dapat memilih sendiri kerajaan atau pemimpin yang berwibawa serta bertanggungjawab untuk mentadbir negara dengan baik serta menjamin pemerintahan yang adil. Bukan itu sahaja, kita juga tidak mahu mengangkat pemimpin yang terpalit dengan kes salah guna kuasa dan rasuah untuk mentadbir negara.
Pemerintah Untuk Pulihkan Ekonomi Negara
Foto: Microsoft News
Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, kita sudah lihat pelbagai pembangunan dari segi kemudahan dan teknologi dalam negara. Malah, perubahan teknologi yang maju adalah kesan daripada kepimpinan yang terbuka dan berdaya saing dengan negara luar. Setiap pemimpin mempunyai identiti mereka sendiri yang mencorak kepada sistem pemerintahan yang strategik.
Sebagai contoh, pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) semasa pemerintahan Dato’ Sri Najib Tun Razak sedikit sebanyak telah merancakkan ekonomi negara. Namun, kemunculan virus Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia telah menjadi isu kritikal yang perlu ditangani selain merencatkan usaha pemulihan ekonomi negara tahun sejak tahun 2020.
Sebagai contoh, Harian Metro melaporkan ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 8.9 peratus pada suku kedua, tahun ini berbanding 5 peratus suku pertama lalu. Peningkatan pertumbuhan itu mencerminkan kegiatan ekonomi yang kembali normal apabila negara beralih ke dari fasa pandemik ke fasa endemik serta pembukaan semula sempadan antarabangsa.
Oleh hal demikian, pemimpin yang akan memerintah negara pada masa akan datang perlu memainkan peranan penting dan melakukan pelbagai strategi bagi memastikan ekonomi Malaysia kekal kukuh dan stabil. Jadi, setiap undian rakyat Malaysia sangat penting! Bukan sahaja memilih parti, anda juga memilih pemimpin yang bakal mencorakkan ekonomi negara.