berita

300 Tulang Manusia Dijumpai Dalam Kolam, Mayat Dibungkus Dalam Beg Plastik, Diikat Pada Dumbel & Kabel Elektrik

January 20th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Di Bangkok, seorang lelaki yang dikenali dengan nama Apichai Ongwisit telah ditahan oleh pihak polis selepas dia didakwa telah membunuh teman wanitanya, Kik yang berusia 22 tahun. Apa yang lebih mengejutkan apabila hampir 300 serpihan tulang manusia ditemui dan dikeluarkan pihak berkuasa dari sebuah kolam berhampiran dengan rumah suspek.

Mayat dibungkus dalam plastik

Kejadian ini dikatakan berlaku sejak bulan Julai tahun lepas di mana kedua-dua pasangan ini telah memfailkan aduan kepada polis dan menggesa pihak berkuasa menyiasat individu yang didakwa menyerang wanita itu secara seksual. Namun tidak lama selepas membuat aduan, Kik dilaporkan hilang oleh keluarganya dan pihak polis telah menahan seorang lelaki, Chalermchai untuk membantu siasatan. Lelaki berkenaan kemudian telah memberi petunjuk dan maklumat penting kepada pihak polis berhubung dengan kes kehilangan wanita itu.

Sebaik sahaja menerima maklumat itu, pihak polis bertindak pergi ke rumah suspek yang juga merupakan teman lelaki Kik untuk mencari wanita terbabit tetapi lain pula yang jadinya apabila mereka menemui mayat Kik yang dibungkus dengan beg plastik dan dikebumikan di pekarangan rumah suspek. Menurut pihak polis, mayat wanita itu dikenal pasti oleh ahli keluarganya berdasarkan tatu gambar ikan di bahagian belakang badannya.

Mayat dibalut dengan cadar

Tidak cukup dengan itu, pihak berkuasa kemudian menemui rangka manusia yang telah dibalut dengan pakaian dan cadar serta disembunyikan kira-kira lima meter dari kolam berkenaan. Suspek telah menyembunyikan rangka manusia itu di bawah objek logam besar diikat pada dumbel menggunakan rantai.

Menerusi laporan Bangkok Post, usaha pencarian itu giat dilakukan pihak berkuasa selepas saksi meyakinkan mereka bahawa kemungkinan terdapat lagi dua mayat manusia di dalam kolam berkenaan. Sebaik sahaja menerima maklumat tersebut, pihak polis kemudian bertindak mengarahkan supaya kolam berkenaan dikeringkan supaya misi pencarian dapat dilakukan dengan segera sekaligus dapat mengumpulkan bukti berhubung dengan kes ini.

300 tulang manusia dijumpai

Segala persoalan akhirnya terjawab selepas mereka menemui hampir 300 tulang manusia di dalam kolam berkenaan. Suspek telah menggunakan peralatan seperti kerusi dan pintu logam yang telah diikat dengan kabel elektrik dipercayai digunakan sebagai alat pemberat sebelum mayat dicampakkan ke dalam kolam tersebut. Walau bagaimanapun, menurut sumber masih terlalu awal untuk mengatakan bahawa tulang-tulang tersebut mempunyai kaitan dengan kes kematian Kik.

Kesemua tulang berkenaan dihantar ke Hospitak Siriraj untuk pemeriksaan dan identifikasi.

Sumber: Bangkok Post

SKIP THIS AD ×