berita

4 Beradik Ditahan Lepas Larikan Mayat Bapa Dari Hospital

January 22nd, 2021 | by Shahira
Kini Trending

Seramai empat orang individu yang merupakan adik-beradik telah ditahan oleh pihak polis selepas bertindak melarikan jenazah bapa mereka dari hospital. Difahamkan, jenazah tersebut kemudian di bawa ke kediaman mereka yang terletak di Kampung Panji Laut di Lahad Datu, Sabah.

Larikan jenazah bapa

Foto: Medscape

Memetik laporan Free Malaysia Today, pada awalnya, mangsa yang berusia 58 tahun itu dikejarkan ke hospital disebabkan masalah kesihatan dan telah diasingkan di khemah pesakit dalam siasatan (PUI). Berikutan daripada itu, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Rohan Shah Ahmad berkata, mangsa telah diberikan bantuan pernafasan cemas (CPR) sebelum disahkan meninggal dunia.

Petugas perubatan kemudian memberi penerangan kepada ahli keluarga berhubung SOP pengurusan jenazah ketika krisis Covid-19.

Jelasnya lagi, pihak hospital perlu menjalankan ujian saringan Covid-19 terhadap jenazah. Malah, jenazah juga perlu disimpan di bilik mayat Jabatan Forensik sehinggalah keputusan Covid-19 keluar.

Jenazah di ruang tamu

Sekadar gambar hiasan

Namun, selepas mendengar penerangan tersebut, ahli keluarga dikatakan tidak bersetuju dengan prosedur yang ditetapkan sehingga mereka nekad membawa jenazah bapanya pulang ke rumah.

Dalam serbuan itu, polis menahan empat suspek membabitkan seorang wanita dan tiga lelaki. Jenazah berkenaan turut ditemui pasukan serbuan di ruang tamu di rumah perkampungan atas air berkenaan.

Sementara itu, kes ini disiasat di bawah Seksyen 270 Kanun Keseksaan serta Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sumber: Free Malaysia Today, Astro Awani

SKIP THIS AD ×