Empat kumpulan diumumkan berjaya melangkah ke pusingan akhir Pentas Marhaban yang dijadualkan berlangsung pada 6 Januari 2024.
Artikel Berkaitan: Tilmiz Fahmi Nafi Pengaruh Keputusan Pihak Produksi Pilih Al Maqari Sebagai Peserta Pentas Marhaban
Artikel Berkaitan: ‘Rakan-Rakan Artis Sangat Menghargai Karya Saya & Memberi Sokongan Penuh’- Ustazah Asni Mansor
4 finalis
Kumpulan tersebut adalah Qalbun Hadi, Al-Maqari’, Al-Muhtadin dan Raudhatul Ashwaq.
Manakala empat kumpulan lagi iaitu Sinar Marhaban, Intracksee, Soutun Nadwah dan An Ni’matul Uzma terpaksa akur apabila terkandas di peringkat separuh akhir.
Menurut penerbit program Pentas Marhaban, Nur Ain Mohamed, kesemua lapan kumpulan telah memberikan saingan sengit dan kedudukan markah begitu rapat.
Saingan sangat sengit pada semi final, markah juga sangat rapat di antara setiap kumpulan dari kedudukan pertama hingga kelapan.
Untuk final insya-Allah , ada format lain. Perancangannya akan ada segmen battle tapi disebabkan ada satu kumpulan perempuan agak tidak sesuai untuk battle, jadi kami akan lakukan perbincangan semula.
Di semi final ini nampak keyakinan setiap kumpulan apabila mereka boleh bawa marhaban secara asli dengan baik dan itu terbukti apabila ada yang berjaya ke final, insya-Allah di final nanti akan digabungkan marhaban asli dan kontemporari.
Nur Ain berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media sejurus selesai peringkat separuh akhir Pentas Marhaban, yang diadakan di TV Alhijrah, pada Sabtu.
Sementara itu, menurut juri Ustazah Asni Mansor, juara bakal dipilih berdasarkan kemampuan mereka menyampaikan persembahan yang paling menyentuh hati dan mempunyai unsur ‘ketenangan’.
Jika tanya apa yang para juri cari di pusingan akhir nanti, jawapannya hanyalah ketenangan.
Penyampaian mereka bersangkutan dengan kisah Rasulullah, maka kita cari persembahan yang mampu menyentuh hati pendengar dan penonton.
Pesan saya kepada peserta, berlatihlah dengan bijak. Jangan terlalu kuat berlatih hingga hilang suara dan penyampaian tidak terkawal.
Selain Ustazah Asni Mansor, pentas separuh akhir turut diadili oleh Ustaz Zulhafis Gambus serta juri jemputan Ustaz Azraie Abdul Hak.
Terdahulu, sebanyak lapan kumpulan berjaya meneruskan perjuangan di peringkat separuh akhir.
Enam daripadanya dipilih daripada pusingan kalah mati setiap enam minggu iaitu Sinar Marhaban, Intracksee, Soutun Nadwah, Raudhatul Ashwaq, Al Maqari’ dan An Ni’matul Uzma.
Manakala, dua lagi kumpulan iaitu Qalbun Hadi dan Al-Muhtadin dipilih berdasarkan kualiti persembahan dan markah tertinggi sepanjang enam minggu bersiaran.
Juara Pentas Marhaban bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000 dan naib juara bakal menerima wang tunai berjumlah RM25,000.
Manakala, tempat ketiga dan keempat bakal membawa pulang wang tunai RM5,000 sebagai saguhati.
Pentas Marhaban bersiaran pada setiap Sabtu jam 9 malam di saluran TV AlHijrah dan dihoskan oleh Shamsul Ghau Ghau serta Tilmiz Fahmi.