Jasa anggota tentera di atas keberanian dan pengorbanan mereka dalam menentang pengganas Komunis sehingga menyumbang kepada kebebasan negara pada hari ini sememangnya wajar dihargai.
Bagi memastikan bakti veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus dihargai, baru-baru ini telah berlangsungnya satu Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) yang disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan di Dewan Banquet, Wisma Perwira, Pangkalan Udara Sendayan, Negeri Sembilan.
Untuk pengetahuan semua, penganugerahan PJM yang dikoordinasi oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) ini telah dilaksanakan bermula pada 3 Mac 2004 dan PJM telah dimartabatkan sebagai pingat yang lebih kanan dalam susunannya berbanding dengan anugerah-anugerah yang sama kelas dengannya seperti Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa- bangsa Bersatu (PNBB) dan Pingat Perkhidmatan Setia (PPS).
PJM juga merupakan pengiktirafan kepada anggota tentera atau bekas anggota tentera yang memenuhi syarat-syarat kelayakan seperti berikut:
1. Telah berkhidmat atau terlibat dalam operasi secara berterusan selama 3 bulan dan ke atas atau telah bertugas secara langsung tidak kurang dari 6 bulan di mana-mana pasukan atau formasi ATM bagi tempoh dari 1 Januari 1969 hingga 2 Disember 1989 bagi operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM) atau,
2. Telah berkhidmat atau terlibat dalam operasi secara berterusan selama 3 bulan dan ke atas atau telah bertugas secara tidak langsung tidak kurang dari 6 bulan di mana-mana pasukan atau formasi ATM bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990 bagi operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) atau,
3. Telah terbunuh, cedera atau menjadi kurang upaya disebabkan oleh tugas menentang pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 2 Disember 1989 atau pengganas Parti Komunis Kalimantan (PKKU) bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990.
Sehingga hari ini, seramai 36,364 warga veteran ATM telah menerima PJM manakala bagi veteran yang layak dan belum lagi dianugerahkan akan dijadualkan penganugerahannya pada masa akan datang.
Menteri Pertahanan turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua penerima PJM dan Majlis Penganugerahan ini juga menunjukkan komitmen Kementerian Pertahanan dalam menghargai peranan dan sumbangan Veteran ATM sekaligus menggalas aspirasi yang telah digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan di bawah strategi ketiga iaitu kepentingan kepada Warga Pertahanan, dalam konteks Veteran ATM.
Turut hadir dalam Majlis Penganugerahan ini ialah YBhg Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan; YBhg Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM, Panglima Angkatan Tentera; YBhg Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM, Panglima Tentera Udara; YBhg Mejar Jeneral Mohamed Fauzi bin Kamis, Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA); Mej Jen Zambery Jefry bin Haji Darus, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV); YBhg Kolonel Ahmad Rashidi bin Ithnin, Komander Pangkalan Udara Sendayan selaku tuan rumah majlis pada hari ini serta YBhg Kapten Datuk Hj Sharuddin bin Hj Omar mewakili ahli Majlis Veteran Kebangsaan dan wakil-wakil Persatuan sekitar Negeri Sembilan dan Melaka.