Melewati 25 tahun usia pembabitan dalam industri seni jelas menterjemahkan keselesaan yang memeluk penyanyi kelahiran Indonesia bersuara lunak, Datuk Seri Rossa.
Meski bersilih ganti bakat baharu hadir mewarnai pentas industri hiburan, populariti Rossa atau nama penuhnya, Sri Rossa Roslaina Handiyani tidak pernah goyah.
Artikel Berkaitan: Sanggup Teman Ibu Seharian Bekerja, Anak Bujang Rossa Jadi Kegilaan Gadis – ‘Teteh Mau Gak Jadi Mentua Aku?’
Masih berbisa
Tidak hanya unggul sebagai antara penyanyi papan atas di negara kelahirannya, Rossa, 44, keampuhan popularitinya di negara jiran, terutama Malaysia terus kukuh apabila karya terbaru yang dihasilkan sentiasa mendapat tempat istimewa di hati penggemarnya.
Justeru, bukan sesuatu yang mengejutkan apabila kemunculan terbarunya menerusi konsert Another Journey: The Beginning di Zepp Kuala Lumpur pada 13 dan 14 Julai lalu meninggalkan memori yang mekar lama dalam kalangan peminat setia.
Kehadiran hampir 5,000 peminat untuk kedua-dua malam persembahan membuktikan namanya masih relevan dan karyanya sentiasa didahagakan peminat.
Membuka tirai persembahan dengan penuh bertenaga menerusi lagu Malam Pertama, Rossa tidak perlu menunggu lama untuk membuai emosi penonton. Dia seterusnya menyajikan himpunan lagu popular yang memahat kukuh namanya dalam kelompok penyanyi wanita hebat Indonesia.
Seleksi lagu galau seperti Aku Bukan Untukmu dan Jangan Hilangkan Dia yang menjadi trademark penyanyi kelahiran Sumedang, Jawa Barat membuat peminat tidak betah berdiam lalu bersama-sama menyanyi.
Turut sinonim sebagai penyanyi runut bunyi, Rossa tidak melupakan lagu wajib iaitu Takdir Cinta dan Ayat-Ayat Cinta yang disampaikan secara medley.
Rossa juga tidak melupakan runut bunyi terbaru yang dirakamkannya, Khanti ciptaan Melly Goeslaw yang diakui mampu mengulangi kecemerlangan yang dilakar Ayat-Ayat Cinta dan Takdir Cinta.
Rossa seterusnya membawa penonton melewati perjalanan yang dilaluinya ketika dunia berdepan pandemik Covid-19 menerusi untaian terbaru yang dimuatkan dalam album Another Journey: The Beginning.
Bagai membentang naratif perjalanan peribadinya berkisar kehidupan, karier, cinta, Rossa memukau menerusi untaian lagu seperti Wanita, Masih, Terlalu Berharap, Akhirnya, Sekali Ini Saja serta Lupakan Cinta.
Setiap lagu, akui Rossa yang sesekali menyisipkan canda dalam celotehnya menyimpan makna tersendiri. Justeru, meskipun sinonim dengan lagu galau, Rossa tetap memastikan lagu nyanyiannya membawa mesej untuk dihayati pendengar.
Ruang Zepp KL gamat apabila Rossa menyanyikan lagu Hati Yang Kau Sakiti versi Korea. Pujian wajar diberikan kepada Rossa dan tenaga produksi konsert yang bijak memancing energi penonton.
Harus diakui, evolusi Rossa sebagai penghibur jelas terpancar menerusi penampilan terbarunya ini. Improvisasi yang dilakukan dengan menyuntik nuansa EDM pada lagu popularnya seperti Pudar dan Hey Ladies sebagai penutup konsert membuktikan strategi Rossa dalam mencari kelompok peminat baharu berhasil.
Untuk malam pertama, Rossa tidak bersendirian sebaliknya ditemani penyanyi baharu, Betrand Putra Onsu sebagai artis pembuka. Tunang kepada Mahalini iaitu Rizky Febian turut mendendangkan dua lagu popularnya, Cuek dan Kesempurnaan Cinta.
Duetnya bersama Rossa menerusi lagu Bertengkar Manis mencatatkan kenangan yang cukup manis bagi 2,400 penonton yang memenuhi ruang Zepp KL pada malam pertama.
Malam kedua pula, Rossa membawa penyanyi muda yang sedang hangat mencipta nama, Mahalini. Meskipun cuma mempersembahkan dua lagu, kemunculan penyanyi kelahiran Denpasar, Bali itu membawakan Sisa Rasa dan Sial berjaya menambahkan lagi kemeriahan konsert.
Suasana konsert bertambah hangat apabila Mahalini berduet dengan Rossa menyanyikan lagu ciptaannya untuk penyanyi tersebut iaitu Lupakan Cinta.
Konsert pada malam kedua turut diserikan dengan penyanyi tempatan yang mencipta nama menerusi program, Vokal Mania, Zareef Sein yang mempersembahkan dua lagu termasuk Ku Menunggu.
Konsert Another Journey: The Beginning adalah pembuktian kematangan Rossa sebagai penghibur yang berani, malah bijak beradaptasi dengan perubahan untuk sentiasa kekal relevan dalam industri seni.