berita

6 Suspek Akhirnya Ke Tali Gantung! Ini Kronologi Pembunuhan Kejam Kevin Morais Disimen Dalam Tong Dram

July 10th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Nama Datuk Anthony Kevin Morais iaitu Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara telah menggemparkan negara sekitar tahun 2015 selepas mayatnya dijumpai dalam tong dram yang diisi konkrit. Motif utama pembunuhan Morais dipercayai disebabkan dendam.

Kalau korang tidak kenal siapa Kevin Morais, apa yang telah berlaku kepadanya sebelum ini dan siapa pula yang terlibat dalam kes ini? Di sini kami akan kongsikan sedikit kronologi mengenai konspirasi pembunuhan kejam yang menimpa Morais.

Kronologi kehilangan Morais

Datuk Anthony Kevin Morais dilahirkan pada 22 Mac 1960 dan berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara. Tanggal 4 September 2015, nama Morais mula menjadi topik utama di dada-dada akhbar selepas dia dilaporkan telah diculik sebelum dibunuh dengan kejam.

Kejadian tersebut berlaku semasa Morais dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya yang terletak di Pejabat Peguam Negara, Putrajaya. Tetapi apa yang peliknya, pada hari tersebut, Morais langsung tidak kelihatan di pejabat dan telefon bimbitnya juga gagal dihubungi.

Kereta hangus terbakar

Keesokan harinya pula iaitu pada 5 September 2015, sebuah kereta jenis Proton Perdana versi Honda Accord yang menyerupai kereta yang dipandu Morais telah dijumpai dalam keadaan hangus terbakar di Ladang Kelapa Sawit, Kampung Sungai Samak, Hutan Melintang, Perak. Walau bagaimanapun, pihak polis tidak dapat mengenalpasti nombor casis dan nombor enjin kenderaan kerana ianya telah dikikis.

Ramai yang mendakwa kes kehilangan Morais dikaitkan dengan isu 1MDB tetapi ianya dinafikan oleh Jabatan Peguam Negara. Namun 5 hari selepas kehilangan Morais, tersebar khabar angin yang memaklumkan mayat Morais sudah dijumpai di Sungai Klang dan sekali lagi berita tersebut disangkal oleh pihak polis.

Mayat ditemui dalam tong dram

Sementara itu, berdasarkan data rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pihak polis mengesahkan kereta yang dipandu Morais telah dihalang di tepi jalan yang dilaluinya. Morais telah ditarik masuk ke dalam kereta suspek selain kereta Morais turut dilarikan. Namun tiada sebarang panggilan atau ugutan yang diterima selepas itu.

Tanggal 16 September 2015, segala persoalan dan misteri mengenai kehilangan Morais akhirnya terjawab selepas penemuan mayat Morais di Taman Subang Mewah, USJ 1 iaitu berhampiran dengan Sungai Klang. Mayat Morais ditemui dalam keadaan terikat dengan guni dan disimen di dalam tong dram. Difahamkan, penemuan tersebut hasil pengakuan beberapa suspek utama yang telah ditahan dalam serbuan besar-besaran oleh pasukan petugas khas.

Motif pembunuhan

Motif pembunuhan Morais dipercayai mempunyai kaitan dengan satu kes rasuah yang dibicarakan di mahkamah Shah Alam dengan membabitkan seorang doktor tentera iaitu Dr Kunaseegaran. Difahamkan, beliau merupakan salah seorang suspek utama yang telah telah ditahan berhubung dengan kes penculikan dan pembunuhan Morais.

6 suspek dihukum gantung

Pada hari ini iaitu 10 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas keenam-enam suspek termasuk Pakar Patologi Kolonel iaitu Dr R Kunaseegaran yang juga merupakan tertuduh utama, S Ravichandran, R Dinishwaran, AK Thinesh Kumar, M Vishwanathi dan S Nimalan.

Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan semua tertuduh mempunyai niat bersama membunuh Morais pada tahun 2015.

Sumber: Berita RTM, Berita Harian, Astro Awani

SKIP THIS AD ×