Pejam celik pejam celik, nampaknya sudah seminggu umat Islam menyambut bulan Ramadan. Bersempena dengan 8 Ramadan pada hari ini, OhBulan! ingin kongsikan senarai bazar Ramadan yang popular dan menjadi tumpuan ramai orang di sekitar Lembah Klang.
Bazar Ramadan Dataran Putrajaya, Presint 3
Foto: Facebook Perbadanan Putrajaya
Buat korang yang tinggal di Putrajaya mahupun di sekitarnya, Bazar Ramadan Dataran Putrajaya ini merupakan lokasi yang sesuai untuk korang membeli juadah berbuka.
Terletak bersebelahan Masjid Tuanku Zainal Abidin, bazar ini dikatakan paling besar, luas dan mempunyai pelbagai juadah makanan dan minuman yang sedap! Dari segi harga pula, ada yang murah, normal dan mahal. Paling best, makanan viral pun ada dijual di sini.
Bazar Ramadan TTDI, Kuala Lumpur
Foto: Opie Sofia via Facebook
Bazar Ramadan TTDI, Kuala Lumpur juga antara bazar popular dan menerima ramai pengunjung pada setiap tahun. Di sini pelbagai jenis juadah berbuka korang boleh beli.
Kalau tanya OhBulan! bazar ini merupakan kegemaran kami. Lokasinya yang berhampiran dengan kawasan pejabat dan MRT TTDI membuatkan pengunjung mudah untuk akses pergi ke kawasan itu. Cuma korang kena ingat, trafik agak sibuk sekiranya korang datang ke bazar jam 6 petang ke atas.
Lagi satu info, bazar ini digelar ‘bazar kayangan’ kerana ia menjadi tempat tumpuan selebriti Malaysia termasuk golongan kenamaan. Pasti akan ada selebriti Malaysia yang kunjung dan beli juadah berbuka di sini setiap hari.
Bazar Kampung Baru, Kuala Lumpur
Foto: Khairul Afnan via Facebook
Terletak di tengah-tengah ibu kota, Bazar Ramadan Kampung Baru ini antara bazar yang sentiasa sesak setiap hari. Meskipun sesak, bazar ini sentiasa menjadi pilihan pengunjung tatkala tibanya bulan puasa. Mana taknya, juadah kuih muih dan lauk pauk di kawasan ini antara yang tersedap dan murah.
Di samping itu, lokasi bazar yang strategik ini turut dikunjungi para pelancong yang mahu merasakan kemeriahan bulan Ramadan di Malaysia. Selain pelbagai jenis gerai, pengunjung juga boleh berbuka di Kampung Baru kerana di sana terdapat pelbagai restoran yang menarik dan terkenal. Antaranya, Suraya dan Nasi Lemak Wanjo.
Bazar Ramadan Stadium Shah Alam
Foto: Ederin Amid via Facebook
Sebut sahaja Shah Alam, sudah pasti dalam fikiran korang Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, betul tak? Bazar ini sangat popular dalam kalangan pelajar dan penduduk yang menetap di Shah Alam. Mana taknya, ia terletak berhampiran MSU dan beberapa universiti tempatan yang lain.
Lagi satu, bazar ini popular kerana nasi Arab Chef Ammar. Setiap tahun pasti ramai yang akan beratur panjang demi menikmati keenakan nasi Arab ketika berbuka puasa.
Dari segi parking pula, bazar ini antara yang mudah buat pengunjung. Ini kerana, kawasan parking yang disediakan sangat luas.
Bazar Ramadan PKNS, Shah Alam
Foto: Kompleks PKNS Shah Alam
Selain Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, Bazar Ramadan PKNS juga menjadi pilihan warga Selangor. Terletak di Kompleks PKNS Shah Alam dan tasik yang luas, bazar ini menjadi pilihan pengunjung kerana mereka boleh berbuka di kawasan tasik selepas membeli juadah di bazar itu.
Di samping itu, pengunjung juga boleh membeli belah di dalam kompleks PKNS sebelum dan selepas berbuka. Alang-alang dah ada situ, persiapan untuk Hari Raya juga boleh dilakukan.
Bazar Ramadan USJ 4 Subang
Foto: PAS Selangor via Facebook
Bazar paling meriah dan menerima kunjungan ramai di sekitar Subang Jaya adalah Bazar Ramadan USJ4. Bazar ini sudah tentunya ada menjual pelbagai jenis makanan dan minuman mengikut cita rasa korang.
Sama seperti bazar lain, korang kena datang awal ke bazar ini kerana jumlah pengunjungnya terlalu ramai dan kawasannya boleh dikatakan agak padat sekiranya hampir ke waktu kemuncak. Lagi satu, korang jangan lupa bawa wang tunai kerana ada gerai yang tidak memiliki QR Code untuk di scan.
Bazar Ramadan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR)
Foto: Hamdan Hamid via Facebook
Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) sudah semestinya destinasi selalu dikunjungi oleh orang ramai. Tidak kira bulan Ramadan atau raya, pasti ramai yang berpusu-pusu datang ke sini untuk mencari makanan dan barang keperluan. Boleh dikatakan bazar ini antara yang paling hidup ‘lama’ kerana rata-rata gerai di kawasan ini tutup lewat. Jadi, memang meriahlah!
Bazar Ramadan Wangsa Maju, Kuala Lumpur
Foto: Ainn Ainnia via Facebook
Kalau korang nak tahu, Bazar Ramadan Wangsa Maju antara bazar yang terpanjang di Kuala Lumpur. Lokasinya yang terletak berhampiran LRT Stesen Wangsa Maju membuatkan ia mudah untuk diakses oleh pengunjung.
Seperti biasa, setiap makanan dan minuman yang korang inginkan pasti ada jual di sini dengan harga yang berpatutan. Seawal jam 4.00 petang, bazar ini sudah ramai pengunjung.