Dalam tak sedar, tahun 2018 kini sudah sampai ke penghujungnya. Banyak perkara suka dan duka berlaku sepanjang tahun ini antaranya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14), kejadian rusuhan yang berlaku di kuil sehingga melibatkan nyawa salah seorang anggota bomba dan banyak lagi. Sebelum tahun ini melabuhkan tirai, ini antara yang terjadi sepanjang tahun 2018. Semoga tahun akan datang akan memberi seribu kebaikan buat kita semua.
Kekalahan mengejut
Perkara yang paling diingati rakyat Malaysia pada tahun ini adalah apabila Barison Nasional (BN) alami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) selepas 61 tahun pemerintahan sejak kemerdekaan Tanah Melayu. BN juga sebelum ini tidak pernah kalah dalam 13 pilihanraya.
Tun Dr Mahathir Mohammad Cipta Sejarah
Selain itu, Tun Dr Mahathir Mohammad juga telah mencipta sejarah apabila menjadi Perdana Menteri Malaysia buat kali kedua. Lebih menarik, Tun Dr Mahathir juga yang berumur 92 tahun merupakan Perdana Menteri tertua di dunia.
Bekas Perdana Menteri didakwa
Disebalik kemenangan parti Pakatan Harapan, Malaysia turut mengikuti berita mengenai bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Mereka telah didakwa di mahkamah atas 49 pertuduhan dimana Najib menghadapi 25 pertuduhan berkaitan kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan tujuh pertuduhan berkaitan SRC International Sdn Bhd.
Isterinya, Rosmah menghadapi 12 pertuduhan membabitkan kemasukan RM7.1 juta ke dalam akaun peribadinya, iaitu dari tahun 2013 hingga 2017. Manakala lima lagi pertuduhan kerana tidak mengisytiharkan kemasukan wang tersebut dalam penyata cukai pendapatannya.
#BombaHeroKami
Antara perkara menyayat hati, membuatkan hati rakyat Malaysia sebak adalah apabila enam anggota bomba dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor lemas dalam satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas di lombong di Taman Putra Perdana, Puchong. Kejadian berlaku pada 3 Oktober 2018.
Kes langgar lari di Cyberjaya
Satu lagi tragedi berlaku pada bulan Oktober apabila seorang wanita maut akibat langgar lari di Cyberaya. Kemalangan terjadi selepas wanita bernama Wan Amirah Wan Alias, 31, membeli makanan di kawasan Shaftsbury Square, Cyberjaya. Video disaat mangsa dilanggar juga tular di sosial media dan telah membangkitkan kemarahan orang ramai.
Kes rusuhan di Subang Jaya
Selepas itu, Malaysia digemparkan dengan rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya. Kejadian dipercayai berpunca dari salah faham berkaitan dengan perpindahan kuil serta hak pemilihan tanah. Akibat dari rusuhan itu, puluhan kenderaan dibakar dan sebuah jentera bomba dirosakkan.
Perginya seorang anggota bomba..
Turut terjadi pada rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman adalah apabila seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dilaporkan kritikal akibat dipukul sewaktu di lokasi kejadian. Selepas bertarung nyawa, akhirnya pada 17 Disember Adib telah meninggal dunia pada jam 9.41 malam di Institut Jantung Negara (IJN). Berita sedih itu sememangnya telah membuatkan rakyat Malaysia berasa sayu dan sedih.
Arwah juga bakal menamatkan zaman bujang bersama tunang, Nurul Najihah namun Tuhan lebih sayangkan Adib..
Persembahan terakhir..
Walaupun bencana ini berlaku di Indonesia, namun kisah yang berlaku turut mendapat liputan meluas di Malaysia. Baru-baru ini tsunami telah melanda Pantai Barat Wilayah Banten, Indonesia sehingga menyebabkan ramai mangsa terkorban.
Ifan Seventeen dan isteri Dylan Sahara
Tidak lama selepas itu, tersebar rakaman video di mana kumpulan popular dari Indonesia, Seventeen membuat persembahan ‘terakhir’ di Tanjung Lesung Beach Resort, Pandeglang sebelum gelombang besar itu melanda. Vokalis kumpulan tersebut, Ifan merupakan individu yang terselamat manakala isteri serta rakan-rakan baiknya yang lain disahkan maut.