Pelakon, Lisdawati mengaku berdepan cabaran dan ujian dalam mengekalkan keharmonian rumah tangga bersama suami tercinta, Fauzi Nawawi meskipun usia perkahwinan sudah meniti 15 tahun.
Tak lari daripada ujian
Menurut Lisdawati, setiap pasangan yang sudah berkahwin tidak boleh lari daripada ujian, termasuk dirinya yang perlu menangani sikap ‘panas’ suami tersayang sebelum ini.
Pejam celik usia perkahwinan kami sudah mencecah 15 tahun. Saya akui setiap lima tahun ada cabarannya. Alhamdulillah memasuki tahun ke-15, kami semakin matang dalam menempuh alam rumah tangga. Kalau sebelum ini saya tahu suami jenis cepat pemarah, tetapi semakin mengenalinya saya sudah mula tahu cara untuk menghadapinya.
Tambah Lisdawati, dia perlu banyak bersabar dengan sikap suami yang panas baran pada lapan tahun yang pertama. Bercerita lebih lanjut, pasangan ini akan berkomunikasi melalui mesej telefon berbanding bersemuka ketika mereka mempunyai salah faham atau masalah. Ujar Lisdawati lagi, dia percaya cara yang dibuat adalah jalan terbaik supaya dapat mengawal amarah.
Doa seorang isteri memang terbaik. Sekarang suami lebih ‘cool’. Sikit-sikit biasalah. Kalau tanya saya, 70 peratus sifat suami berubah daripada seorang yang panas baran, jadi lebih tenang. Saya tidak boleh ubah diri suami 100 peratus sebab saya sendiri pun ada kekurangan dan kelemahan. Apa yang penting kami saling menerima.
Kalau diikutkan sejak awal perkahwinan lagi kami memang tidak berbincang depan-depan jika berlaku salah faham. Apa sahaja masalah, kami berbincang melalui SMS (dahulu) dan sekarang melalui WhatsApp. Kami elak pertelingkahan lidah sebab takut akan bertindak di luar jangkaan. Sampai sekarang kami amalkan cara begitu. Selepas hati kami sejuk, barulah saya dan suami bersemuka untuk berbincang dan saling bermaaf-maafan.
Sumber: Harian Metro