Genre seram kembali mencuri tumpuan dengan kemunculan Azimat, sebuah filem seram psikologi baharu dari Sarawak yang menjanjikan pengalaman mendebarkan melalui gabungan budaya Borneo, elemen mistik dan konflik jiwa manusia.

97% tenaga produksi dari Sarawak

‘Azimat’ diterbitkan oleh Faradale Media-M Sdn Bhd dan diarahkan oleh Kay Rezza Karim. Menurut Kay Rezza Karim selaku penerbit berkata, filem ini bukan sekadar menampilkan hantu atau kejutan semata-mata tetapi ia juga membawa penonton menyelami persoalan tentang trauma, kepercayaan dan pergantungan manusia kepada perkara mistik dalam kehidupan.

Filem seram ini istimewa kerana menjalani penggambaran di Sarawak. Kami mengangkat jalan cerita tempatan. 

Pelakon serta tenaga produksi 97 peratus warga Sarawak, termasuk barisan pelakon utama seperti Dee Dee Aine Peter, Heidi Abyana, Fadzril Afandy dan Rushdi Mornie Daud.

Azimat mengisahkan Hanna, seorang gadis yang percaya hidupnya boleh berubah selepas mendapatkan seutas azimat daripada seorang bomoh Iban. Namun semakin hari, semakin banyak gangguan pelik mula menghantui hidupnya.

Penggunaan tiga bahasa  iaitu Melayu Sarawak, Iban dan Inggeris memberikan sentuhan asli, manakala Kuching dipilih sebagai lokasi utama bagi menyerlahkan identiti budaya dan visual Borneo.

Tak dinafikan, sepanjang penggambaran, kru turut berdepan beberapa kejadian aneh seperti gangguan peralatan dan bunyi misteri di lokasi. Walaupun tidak membahayakan, insiden ini menambahkan lagi “roh mistik” dalam pembikinan Azimat.

Harapan saya adalah penonton bukan sahaja merasai debaran dan ketakutan, tetapi juga membawa pulang mesej mengenai harapan, pilihan hidup dan kesan daripada setiap keputusan yang dibuat,

Dengan gabungan budaya tempatan, elemen seram psikologi dan penceritaan yang sarat makna, Azimat dijangka menjadi antara filem tempatan paling ditunggu tahun ini.

Azimat menemui penonton di seluruh negara pada 27 November 2025.