Penyanyi, Zaki Yamani membuka lembaran baharu dalam kerjaya seninya apabila secara rasmi menyertai Sony Music Malaysia.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Zaki Yamani Tak Keluar Rumah Tanpa Bersedia, Jaga Penampilan Demi Rezeki

Artikel Berkaitan: Baru 20 Tahun Tapi Cara Bercakap Dipuji, Zaki Yamani Pilih Jaga Adab

Zaki Yamani sertai Sony Music Malaysia

Kerjasama tersebut dimeterai menerusi sebuah majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur, semalam dan turut disaksikan Pengarah Urusan Sony Music Malaysia, Singapura, Vietnam & Projek Khas Asia Tenggara, Kenny Ong.

Menerusi kerjasama berkenaan, Zaki berpeluang memperluaskan lagi kerjaya muziknya, termasuk meneroka pasaran di peringkat serantau.

Malah, Zaki turut bakal bekerjasama dengan beberapa penerbit muzik terkenal dari Indonesia bagi menghasilkan karya baharu pada masa akan datang.

Kerjasama merentas negara itu dijangka memberi ruang kepada Zaki untuk meneroka pendekatan muzik yang lebih luas, selain memperkenalkan identiti dan bakatnya kepada pendengar di Asia Tenggara.

Berkongsi mengenai perkembangan tersebut, Zaki meluahkan rasa syukur kerana diberi kepercayaan untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Sony Music.

Saya sangat bersyukur dan gembira kerana diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Sony Music. Saya melihat peluang ini sebagai satu langkah penting dalam perjalanan kerjaya saya.

InsyaAllah, saya akan terus belajar, membina dan mengembangkan kerjaya nyanyian saya serta memberikan yang terbaik buat para peminat dan industri muzik.

Majlis tersebut turut dihadiri peminat serta ahli Fan Club Zaki Yamani yang hadir bagi memberikan sokongan terhadap langkah baharu penyanyi berkenaan.

Dengan penyertaan bersama Sony Music Malaysia, Zaki berharap dapat terus menghasilkan karya berkualiti selain mencabar dirinya untuk meneroka lebih banyak perkara baharu dalam muzik.