Belum lagi tamat tempoh edahnya, pelakon cantik ini telah dihambat kontroversi yang mendakwa bahawa dia mempunyai hubungan dengan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ataupun lebih dikenali sebagai Ku Nan.
Gosip yang sudah mula tersebar di dada-dada akhbar itu nyata mengejutkan Erra Fazira kerana menerusi temubualnya bersama myMetro, Erra memberitahu bahawa dia tidak pernah mengenali Menteri Wilayah Persekutuan itu secara peribadi.
“Saya sebenarnya tidak kenal pun Ku Nan. Apabila disebut nama penuhnya iaitu Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, saya macam pernah dengar. Rupa-rupanya beliau seorang menteri dan saya sememangnya tidak pernah bekerjasama dengan beliau.”
Kesal dengan tuduhan tersebut, Erra meminta agar orang ramai tidak lagi memburukkan namanya hanya kerana dia bergelar ibu tunggal.
“Mentang-mentanglah saya ibu tunggal, jangan mudah nak aibkan saya sesuka hati. Saya ada keluarga, begitu juga pihak yang dikaitkan itu yang ada keluarga perlu dijaga.”
Dek kerana menerima panggilan bertalu-talu daripada pihak media, primadona itu turut menambah bahawa isu ini sekaligus telah mengganggu tumpuannya untuk konsert tersebut.
“Semalam hari pertama konsert bermula. Saya dibayar oleh Awie untuk menjayakan persembahan ini. Jadi saya harus menggalas tanggungjawab yang diberikan sebaik mungkin.”
Diharap Erra mampu bersabar dengan segala tohmahan yang dilemparkan kepadanya. Apapun, mari kita lihat beberapa keping foto Erra Fazira di hari pertama pementasan Teater Muzikal Suara Kita yang berlangsung semalam.