Insiden yang berlaku antara jemaah surau dan seorang pemandu cina makin mendapat perhatian ramai. Video insiden yang diviralkan memaparkan sekumpulan lelaki didapati merusuh dan memukul pemandu terbabit.
Artikel Berkaitan : Ini Laporan Polis & Pengakuan Jemaah Surau Insiden Pukul Bunyikan Hon Ketika Solat Jumaat
Hari ini, polis telah menahan 4 lelaki yang dipercayai terlibat dalam memukul pemandu itu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat meminta agar orang ramai tidak mengeruhkan keadaan.
Empat lelaki ditahan
Empat lelaki ditahan susulan kejadian seorang lelaki dipukul kerana didakwa membunyikan hon di hadapan Surau Taman Austin Perdana, di sini ketika solat Jumaat semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kes kini disiasat mengikut seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. Pasukan polis telah menahan empat lelaki berumur 21 hingga 55 tahun pada jam 1 pagi tadi.
Pihaknya juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang degil dan meminta semua pihak agar bertolak ansur.
Jangan komen mendatangkan kemudaratan
Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang masih degil dengan menyemarakkan api kemarahan
Dato’ Kamarul turut mengingatkan orang ramai agar tidak menularkan dan mengeluarkan apa-apa komen yang boleh mendatangkan kemudaratan.
Sumber : Astro Awani