Korang semua mesti dah tak sabar nak tonton Pulang, filem terbaru lakonan Hero Malaya, Remy Ishak yang bakal ditayangkan tak lama lagi kan? Tengok trailer pun dah best!
Hujung minggu yang lalu telah berlangsungnya Majlis Sesi Ramah Mesra bersama pelakon filem Pulang di Centre Court, Pavillion KL. Antara barisan pelakon yang hadir adalah Remy Ishak, Puteri Aishah, Azrel Ismail, Erwin Dawson dan Alvin Wong. Selain daripada rakan media, para peminat turut datang memberi sokongan kepada filem yang bakal ditayangkan Julai nanti.
Alang-alang dah sampai sini, kami tak mahu lepaskan peluang keemasan untuk menemubual bang Remy tentang filem terbarunya ini. Nak tahu apa yang menarik tentang Pulang? Ini 5 fun-facts mengenai Pulang.
Berdasarkan kisah benar, jumpa selepas 61 tahun
Diberi peluang menemubual pelakon utama Remy Ishak yang membawa watak sebagai Othman, beliau mendedahkan filem epik ini berdasarkan kisah benar tiga generasi yang berlaku kepada Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Ahmad Izham Omar sendiri. Suatu ketika dahulu, datuknya pergi berlayar meninggalkan nenek serta ayah untuk mengubah nasib keluarga. Namun, selama 61 tahun datuknya tidak pulang-pulang sehinggalah bapanya mengambil keputusan mencari di Liverpool.
Apa yang lebih menarik, semasa Ahmad Izham ke Liverpool pada tahun 2008 mencari maklumat mengenai datuknya, beliau berjumpa dengan datuk saudara Remy Ishak yang pada ketika itu bertanggungjawab menjaga komuniti kelasi Melayu di Liverpool.
70% teknik CGI
Menurut Remy lagi, pertama kali menerima naskhah tersebut, beliau merasakan ianya sebuah skrip yang bagus hasil penulisan Mira Mustaffa. Walaupun pada awalnya Remy masih tidak dapat membayangkan bagaimana teknik imej janaan komputer (CGI) yang akan digunakan, dia dapat merasakan ianya bakal menjadi sebuah filem yang hebat dibawah arahan Kabir Bhatia.
Malah 70% daripada filem ini menggunakan teknik CGI yang pasti lain daripada yang lain. Remy turut mengakui amat sukar untuk berlakon hanya berlatarkan green screen kerana dia tidak mengetahui apa imaginasi pengarah dan pakar CGI.
Berkampung di Terengganu
Antara pengalaman paling seronok bagi Remy adalah apabila dapat berkampung di Terengganu selama 2 minggu lebih untuk sesi penggambaran di kawasan perkampungan nelayan. Katanya, proses shooting itu sendiri adalah sesuatu yang sangat menarik kerana mereka dapat melihat pemandangan yang cantik dan mendamaikan.
Malah, Remy sendiri pernah menceritakan pengalaman mengabdikan hidup bersama jala, laut, bahang panas tengah hari dan kesejukan pada waktu tengah malam. Selama sebulan, Remy ke laut mengasah bakat mendayung sampan, menebar jala, membaca kiraan pasang surut air dan gelombang ombak laut dalam. Mujur juga masih ada bapa saudara yang mahir mengenai laut dan ikan serta mempunyai peribadi orang-orang nelayan.
Remy tak mahu bantu orang lemas?!
Dah belajar mengenai selok belok seorang nelayan, Remy mestilah pandai berenang betul tak? Tetapi, apabila ditanya apakah yang akan dilakukan jika ternampak mangsa lemas Remy menjawab dia hanya akan membiarkan sahaja. Untuk terjun ke dalam laut menyelamatkan mangsa tersebut, Remy akan berfikir 2-3 kali.
Paling tidak dia akan mencampak barang untuk mangsa berpaut lalu menariknya ke atas. Ini kerana risiko boleh berenang dan menyelamatkan nyawa orang adalah berbeza. Katanya lagi, dia pernah berada di situasi tersebut dan dia tahu.
Kenapa perlu tonton Pulang?
Akhir sekali, Remy memberitahu korang wajib tonton filem ini kerana ianya berdasarkan kisah benar tiga generasi yang berkisarkan mengenai hubungan kekeluargaan dan cinta. Skrip pula adalah hasil gabungan Mira Mustaffa dan Kabir Bathia yang ternyata sangat bagus! Ditambah pula filem ini memperuntukkan kos sebanyak RM6juta. RM4juta kos penggambaran dan Rm2juta untuk teknik CGI. Ini adalah another level filem yang semua orang kena tonton.
Jadi, jangan lupa saksikan Pulang yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 26 Julai 2018.