Baru-baru ini kecoh di media sosial berhubung desas-desus kononnya kertas soalan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang dikatakan bocor. Namun, kenyataan rasmi masih belum lagi dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan sebaliknya pihak mereka akan melakukan siasatan yang lebih terperinci mengenai isu ini.
Walau bagaimanapun, seorang guru, Mohd Fadli Salleh telah terpanggil untuk meluahkan pendapatnya dalam satu perkongsian di laman Facebooknya mengenai isu yang hangat diperkatakan ini.
Tanpa integriti, hinanya kita
Tanpa integriti, hinanya kita. Kecoh lagi bila soalan PT3 dikatakan bocor. Siap ada Telegram yang dikatakan share soalan PT3 sebiji keluar dalam exam.
Kebocoran soalan berlaku kerana tiadanya integriti dalam diri. Manusia tanpa integriti, bagai tiada harga diri. Sanggup lakukan apa sahaja demi kepentingan diri dan orang lain.
Kesal aku dengan apa yang berlaku saban tahun ini. Ianya menyusahkan ramai pihak dan boleh membuatkan motivasi pelajar merudum teruk.
Segelintir makhluk tidak berintegriti
Cikgu susah, pelajar susah, KPM susah dan ibu bapa pun susah hati hanya kerana segelintir makhluk tidak berintegriti ini. Kerana mereka membocorkan soalan, pihak lain yang tidak terlibat terkena tempias sama.
Guru dan pelajar yang langsung tak terlibat mulai runsing. Apa perlu exam semula? Apa perlu buat ulangkaji lagi dan lagi?
Pelajar yang sebelum ini dapat jawab dengan baik tanpa meniru sebelum ini dah pun bersorak gembira. Jika kena exam semula adakah mereka mampu jawab sebagaimana exam sebelum ini?
Ini yang akan merunsingkan mereka, guru dan ibu bapa. Hanya kerana segelintir makhluk yang tiada integriti sanggup membocorkan soalan, satu negara mengalami kesusahan.
Nilai integriti sangat mahal dan penting
Betapa nilai integriti itu sangat mahal dan penting kita jaga. Namun itu lah, sentiasa ada yang tidak memikirkan tentang orang lain. Mereka sanggup membocorkan soalan peperiksaan hanya untuk melihat pelajar mereka, anak mereka atau kaum kerabat mereka berjaya.
Apa bangga kalau berjaya dengan jalan tipu? Apa boleh bergembira? Apa boleh lena dengan tenang? Sedikit pun tiada rasa bersalahkah dalam diri? Sedikit pun tiada rasa hina kah dalam hati?
Aku selalu buat soalan peperiksaan ujian dalam peringkat sekolah pun tak pernah dedahkan soalan itu pada anak aku sendiri. Sedangkan exam peringkat sekolah sahaja. Sedangkan aku yang buat soalan itu. Jika tunjuk dekat anak aku, pasti dia dapat 100% markah.
Integriti, amanah dan jujur
Namun adakah aku puas hati dengan markah dia 100%? Sudah tentu tidak! Maka exam yang lalu dia dapat 78% sahaja. Apakah aku puas hati? Ya, aku sangat puas hati. Aku tahu itulah pencapaian dia.
Itulah markah yang selayaknya untuk usaha dan aras pemikiran dia. Bukan palsu, bukan tipu. Itulah yang sebenar-benarnya.
Integriti, amanah dan jujur. Itu semua sikap yang perlu ada dalam diri kita. Wajib ada! Takkan pernah ada rasa puas dalam diri jika menang dan berjaya dengan cara menipu ni.
Integriti itu bermula dengan diri kita
Jika integriti sekecil ini pun kita tak mampu nak jaga, apa pula pandangan murid-murid dan anak-anak yang bakal menjadi pemimpin negara akan datang. Mereka melihat kita sebagai cerminan. Sikap dan perangai kita inilah mereka akan contohi.
Tanpa integriti, amanah dan kejujuran, bukan sahaja akan merosakkan sebuah sekolah, bahkan ia mampu menghancurkan sebuah negara. Tanpa integriti, negara boleh porak peranda dan musnah dengan rasuah dan pelbagai ancaman.
Integriti itu bermula dengan diri kita. Dari sekecil-kecil benda. Dalam apa-apa yang dalam penguasaan kita. Itulah dia.
Sumber: Mohd Fadli Salleh