Tidak berpuas hati adik meninggal dunia ketika dalam tahanan polis, Mohd Fadzli Zaidi memohon kes kematian adik disiasat segera. Mohd Fadzrin didakwa menggantung diri di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPDSPU) selepas diberkas disyaki memiliki dadah jenis syabu seberat 20 gram.
Kenapa sampai adik saya mati?
Menerusi laporan Harian Metro, Mohd Fadzli mempersoalkan tindakan polis yang tidak memantau aktiviti tahanan di dalam lokap. Katanya lagi, mustahil untuk adiknya menggantung diri lebih-lebih lagi mereka akan berkahwin serentak tahun hadapan.
Kenapa polis tak pantau aktiviti tahanan dalam lokap, kenapa sampai adik saya mati?
Mohd Fadzli juga menegaskan dia sangat mengenali arwah yang bekerja sebagai penggali kubur.
Pada malam sebelum dia diberkas polis, saya ada bercakap dengannya yang ketika itu baru sahaja pulang ke rumah selepas menghantar tunangnya.
Saya sempat berbual dengannya dan ketika itu dia sedang bersiap untuk ke rumah rakannya.
Mengimbas kembali detik terakhir bersama arwah, Mohd Fadzli memberitahu mereka sempat berbual sebelum arwah ke rumah rakannya.
Tidak lama selepas itu, arwah diberkas sepasukan polis di rumah rakan kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Bagaimana dia boleh buat begitu?
Dia dibawa ke Mahkamah Butterworth pada Khamis bagi permohonan reman dan sempat berpesan kepada saya supaya datang semula pada Rabu ini untuk proses jaminan.
Namun, pada 4 pagi semalam, saya dihubungi pegawai penyiasat kes memaklumkan adik ditemui maut kerana gantung diri.
Dia dimaklumkan polis adik membunuh diri dengan mengikat leher dengan baju sebelum digantung pada jeriji besi tingkap lokap. Mereka sekeluarga sangat terkejut kerana adik dilihat berada dalam keadaan sihat sebelum itu.
Saya terkejut bagaimana dia boleh bertindak sedemikian kerana dia bukan seorang yang mahu nyawanya berakhir sebegitu, bahkan adik akan berkahwin serentak dengan saya tahun depan.
Apa yang polis lakukan kepadanya dan apa yang mereka buat ketika itu sehingga tidak menyedari tindakan dibuat adik itu?
Ayah, Zaidi Mohd Din dan ibu, Fazilah Othman tidak dapat menerima cara kematian adik dan mahu pihak berkenaan bertanggungjawab dengan apa yang berlaku.
Adik saya diberkas dan ditahan di lokap polis, jadi mereka perlu bertanggungjawab memantau keadaan tahanan, bagaimana mereka boleh cuai sehingga dia ditemui dalam keadaan tidak masuk akal.
Memang kami tidak berpuas hati dan mahu kes kematiannya disiasat segera.
Kematian tahanan di dalam lokap tersebut turut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor.
Sehubungan dengan itu, polis sedang menyiasat kejadian berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan hasil bedah siasat diterima dan pemeriksaan pakar patalogi mendapati tiada elemen jenayah.
Suspek ditangkap dan dimasukkan ke lokap IPDSPU pada 20 November dan ditahan reman pada 21 November selama tujuh hari mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambah Noorzainy lagi, arwah mempunyai rekod lampau turut membabitkan dadah. Hasil bedah siasat Hospital Seberang Jaya (HSJ), arwah disahkan maut akibat kecederaan di tengkuk akibat jerutan.
Sumber : Harian Metro , Fadzly Penang