Pelakon dan penyanyi Fattah Amin bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu atau pihak yang menyebarkan fitnah membabitkan dirinya.

Artikel Berkaitan: ‘Boleh Ja Berhubung Di WhatsApp’ – Fattah Amin

Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Fatima Ke Yang Post? Kenapa Daddy Call Tak Angkat?’

‘Proses tindakan undang-undang sedang diuruskan’

Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Abdul Fattah Mohd Amin, 35, memaklumkan bahawa pihaknya tidak memandang ringan terhadap penyebaran fitnah, malah tindakan undang-undang kini sedang dalam proses untuk diambil terhadap individu-individu terlibat.

Saya tak tahu sangat perkara ini (babitkan isu rumah tangga), tapi pihak pengurusan saya sedar akan perkara itu selepas diberitahu peminat.

Tapi apa yang saya boleh katakan adalah, perkara yang tak elok dan fitnah, pihak pengurusan saya akan ambil tindakan dan jika perlu, kami guna undang-undang.

Sebenarnya ketika ini, perkara ini bukan lagi sedang dipertimbangkan tapi proses untuk tindakan undang-undang sedang diuruskan. Tindakan akan diambil terhadap sesiapa yang menyebarkan fitnah, yang membuatkan perkara yang lebih teruk.

Fattah berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas memenangi trofi Selebriti Maskulin Terhangat pada Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad.

‘Lumrah sebagai anak seni’

Mengulas lanjut, Fattah akur bahawa sebagai figura dikenali, dia tidak dapat lari daripada kontroversi atau spekulasi. Namun, dia tetap memandang serius terhadap individu yang cuba menjatuhkan reputasinya.

Apa yang diberitahu pihak pengurusan saya, ya memang ada segelintir mahu mencalarkan nama saya tapi negara kita ada undang-undang.

Saya rasa ini adalah lumrah sebagai anak seni, kita tak akan terlepas dari kontroversi atau gosip. Kita tak boleh expect semua perkara positif sahaja, ada benda negatif. Tak semua orang senang tengok kita.

Walau bagaimanapun, Fattah berkata dia akan tetap dengan pendiriannya untuk fokus kepada kerjaya seni dan tidak melayan perkara yang boleh mencemarkan nama baiknya.

Apa yang saya katakan, saya akan terus bekerja dan tidak terlalu memikirkan perkara sebegini.

Tapi jika perkara itu menggugat nama dan kredibiliti saya, saya akan ambil tindakan undang-undang.

Baru-baru ini, tular di media sosial apabila seorang pempengaruh mendedahkan rumah tangganya diganggu oleh seorang wanita yang didakwa cuba menggoda suaminya.

Pempengaruh itu mendakwa wanita terbabit merupakan individu sama yang menganggu rumah tangga Fattah dan Fazura.

Untuk info, Fattah dan Fazura  mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan disahkan bercerai pada 7 Oktober tahun lalu.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya yang kini berusia 4 tahun.