Pelakon dan penyanyi terkenal, Erra Fazira mengakui bukan mudah untuk menjaga anak perempuannya, Engku Aleesya yang kini sedang memasuki alam remaja.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Bukan Saya Yang Kahwin’ – Erra Fazira Belum Tamat Zaman Solo, Akui Sering Jadi Mangsa Keadaan

Artikel Berkaitan: Erra Fazira Mengaku Lebih Terbuka Kongsi Momen Romantis Dengan Mr. E – ‘Nothing To Hide’

Pantau anak

Ketika ditemui OhBulan!, Erra atau nama lengkapnya Fazira Wan Chek, 51, memberitahu bahawa Aleesya sebelum ini tidak dibenarkan untuk memiliki telefon bimbit.

Bagaimanapun, seusai selesai peperiksaan, Aleesya kini diberikan telefon bimbit namun Erra dan bekas suami, Engku Emran meletakkan syarat-syarat tertentu terhadapnya.

Dia tidak ada telefon sebelum ini tetapi dia baru sahaja dapat sebab peperiksaan dia sudah habis.

Kami sama-sama buat perjanjian, dia boleh untuk ada telefon tetapi dalam waktu tertentu sahaja. Kata laluan pula kena kongsikan dengan kami dan ia boleh diakses bila-bila masa.

Kalau dia buat salah atau langgar perjanjian, kami akan tarik balik telefon.

Menurut Erra, itu merupakan salah satu cara dia dan Emran memantau aktiviti dan tingkah laku anak mereka.

Itu cara kami memantau anak. Kami buat sebaik yang mungkin, sebagai ibu bapa kita tidak mahu mereka lakukan perkara yang tak baik.

Tetapi kadang-kadang, sebijak-bijak kita, bijak lagi anak. Jadi, kita buat apa yang terdaya dan selebihnya berdoa kepada Allah.

Erra berkata demikian ketika ditemui pada sidang media program Kilauan Emas musim kelapan yang berlangsung di Summit Hotel pada Selasa.

Pendekatan Erra

Dalam pada itu, pelakon filem Soalnya Hati tersebut juga menyifatkan Aleesya sebagai seorang yang introvert berikutan jarang berkongsi tentang perihal peribadi.

Justeru, Erra mengambil pendekatan untuk tidak bersikap terlalu tegas dengan anaknya.

Dia sejenis yang pendiam, sampai satu tahap saya minta dia kongsikan perasaan dia.

Saya dibesarkan dengan ibu bapa yang tegas. Tetapi saya tak boleh buat begitu dengan anak sebab bapanya adalah seorang yang tegas juga, nanti ke mana anak kami nak pergi.

Jadi, saya perlu bersikap lebih terbuka dan ‘sporting’ supaya dia datang kepada saya. Saya kata begitu kepada bapa Aleesya.

Cara didikan tidak boleh seperti dahulu, takut anak hanya mencari kawan-kawan untuk meluah.

Tambah Erra lagi, dia perlu mendekati Aleesya dan memahami perasaannya supaya puterinya itu mudah untuk berkongsi cerita.

Bagi saya kita kena pandai bermain dengan psikologi anak dan Alhamdulillah sekarang Aleesya banyak juga berkongsi dengan saya.

Aleesya seperti remaja yang lain dan ada juga dia berkongsi tentang ‘crush’, sejujurnya di belakang dia saya takut tetapi di hadapannya saya perlu bertenang untuk menyelami perasaan dia.

Saya tak mahu dia lari ke tempat lain untuk cari tempat mengadu.

Memang betul, bukan senang nak jaga anak remaja terutama emosinya.

Imbas kembali, Erra pernah mendirikan rumah tangga bersama selebriti Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003 dan bercerai selepas tiga tahun.

Pelantun lagu Yang Terindah Hanyalah Sementara itu kemudian berkahwin kali kedua bersama Engku Emran. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata namun bercerai selepas tujuh tahun melayari bahtera perkahwinan.