Perbuatan buli dengan mengejek dan merendah-rendahkan orang lain akan memberi kesan mendalam terhadap emosi seseorang. Bagi pelajar yang masih belum pandai dapat mengawal emosi dengan baik, perkara ini berisiko menjadikan mereka trauma.
Seperti kisah yang dikongsi pakar motivasi, Akhi Fairuz Al-Jengkawi, seorang pelajar Cina tingkatan 1 diejek ‘coronavirus’ hanya kerana bangsanya.
Kawan-kawan ejek saya
Sekadar gambar hiasan
Banyak-banyak kes buli melibatkan pelajar, kisah yang inilah paling buat aku panas. Seorang budak cina, tingkatan 1, setia menunggu bagi meluahkan rasa. Belum gilirannya lagi, sudah ku nampak air mata mengalir tak henti-henti membasahi pipi.
“Apa yang berlaku pada awak bang?” Soalku.
“Kawan-kawan ejek saya. Dia orang cakap saya Corona Virus.”
Ya Tuhan!! Kenapa melampau sangat ni!! Sudahlah di sekolah itu hanya ada 2 orang pelajar cina. Diperlakukan sedemikian rupa pula. Yang menggelarnya begitu semua budak Melayu, Islam. Kenapa sampai ke tahap ini dik? Kalau verbal bully ni melampau sangat, biasanya aku akan selesaikan segera. Terus aku bawa budak cina ini ke depan semua pelajar lelaki form 1.
“Awak tengok apa yang jadi pada kawan awak ni? Tergamak awak ejek dia begitu? Kita ni sesama manusia, satu sekolah. Sekolah adalah tempat selamat. Pembuli tiada tempat di sekolah!” Aku tinggikan suara. Marah betul rasa!
“Sekarang saya nak pelajar yang ejek dia ni datang ke sini. Saya bukan nak suruh kamu bergaduh, tapi saya nak awak tengok depan mata betapa sedihnya kawan awak diperlakukan sedemikian rupa.” Lalu, seorang pelajar lelaki bangun. Perlahan-lahan dia ke depan. Wajahnya sugul, penuh penyesalan.
“Kenapa awak cakap macam tu pada kawan bang?” Budak itu hanya mampu mendiamkan diri.
“Sekarang salam kawan awak minta maaf.” Tanpa berlengah, beliau menghulurkan tangan, minta maaf dan keduanya saling berpelukan. Keduanya otomatik menangis. Kedua mereka kembali ke tempat duduk pelajar. Lalu budak cina berkenaan dikerumuni oleh rakan yang lain untuk meminta maaf.
Sila ajar anak masing-masing
Sekadar gambar hiasan
Saya tak tahu nak cakap macam mana, tapi gejala buli di sekolah ni sebenarnya serius tuan puan. Budak akan stress. Jika ia berulang lagi dan lagi, ditambah stress yang lain (faktor keluarga, parents bercerai, toxic family dll), bayangkan apa boleh jadi pada mereka kelak.
Mak ayah, tolong jangan buli anak. Membezakan mereka, buat salah pada anak tapi tak reti minta maaf, jangan gelar anak dengan panggilan jelik, elakkan berbahasa sarcasm dan lain-lain. Guru-guru, jangan buli anak murid. Bukan sekali dua saya dengar kisah guru yang buli verbal kepada muridnya. Body shaming, panggil nama pelajar berdasarkan kekurangannya dan lain-lain.
Ni ruangan komen nanti adalah parents yang akan kongsi kisah anak dibuli guru. Walau segelintir guru sahaja terlibat, tapi kesan kepada murid selama-lamanya. Kita sebagai anggota masyarakat, please educate anak masing-masing. Jangan sampai anak kita membuli orang lain. Tak cukup sekadar mengajar anak agar positif menghadapi ejekan dan makian.
Buli secara verbal ni paling banyak berlaku walau ada yang anggap ejek mengejek ni bukan satu pembulian.
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; Dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;
Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”
Al-Hujurat : 11
Akhi Fairuz Al-Jengkawi
#TukangCeramahBudakSekolah
Sumber : Akhi Fairuz Al-Jengkawi