Seorang lelaki tempatan disahkan sebagai individu pertama positif Covid-19 di Sabah. Lelaki berusia 58 tahun ini merupakan salah seorang tabligh yang hadir dalam perhimpunan di Masjid Jamek Seri Petaling.
Kes pertama di Sabah
Menerusi laporan Harian Metro, lelaki yang berasal dari Tawau ini dimasukkan ke hospital sebaik sahaja dia didapati mempunyai simptom seperti demam, batuk serta selsema.
Menurut Pegawai Kesihatan Tawau, Dr G Navindran berkata, pesakit tersebut sudah diasingkan dalam wad isolasi dan dia berada dalam keadaan stabil . Pihak hospital memaklumkan bahawa pesakit masih berada di bawah pengawasan doktor dan sedang menerima rawatan rapi.
Memandangkan ini kes pertama, semua kontak rapat termasuk ahli keluarga pesakit sudah dikuarantin selama 14 hari di rumah masing-masing sebagai langkah pencegahan awal penularan wabak berkenaan.
Jumlah keseluruhan 158 kes
Sementara itu, Free Malaysia Today melaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sembilan kes baharu positif Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 158 kes di Malaysia. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini mereka yang positif Covid-19 ini dikesan di Sabah, Pahang, Perak, Johor dan Kelantan. Kesemua mereka merupakan tabligh yang telah menghadiri perhimpunan di Masjid Jamek Seri Petaling baru-baru ini.
Dari sembilan kes, satu dikaitkan dengan kluster pertama iaitu dikaitkan dengan kes 26 dan kes 33, dan selebihnya pesakit dalam siasatan (PUI) dan dikaitkan dengan kes 131 (kluster kedua).
Tambahnya lagi, sebanyak enam kes sebelum ini sudah pulih sepenuhnya dan kesemua mereka dibenarkan pulang sekaligus menjadikan jumlah yang sembuh seramai 32 orang. Dalam pada itu, Noor Hisham turut memperingati jemaah tabligh yang terlibat dalam perhimpunan di Masjid Seri Petaling untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) supaya dapat menjalani penilaian risiko jangkitan Covid-19. Hal ini secara tidak langsung dapat mengelakkan daripada wabak ini terus merebak dan menjangkiti orang ramai.
Sumber: Harian Metro, Free Malaysia Today