Kenyataan mengenai larangan mengadakan kenduri untuk meraikan majlis perkahwinan telah dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semalam. Menerusi laporan Harian Metro, larangan tersebut seiring dengan arahan Perdana Menteri dan Majlis Keselamatan Negara susulan penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).
Dilangsungkan di premis persendirian
Menurut kenyataan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), pasangan yang ingin melangsungkan majlis akad nikah di Selangor perlu mengikuti tatacara pelaksanaan yang dikeluarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula tengah semalam sehingga 31 Mac nanti.
Pelaksanaan majlis akad nikah hendaklah dilangsungkan dengan syarat ia dijalankan di premis persendirian dan dilarang sama sekali melangsungkan akad nikah di tempat awam seperti masjid, surau atau sebagainya. Majlis akad nikah itu hanya boleh dihadiri oleh seorang pendaftar atau penolong pendaftar perkahwinan, pengantin lelaki dan perempuan, seorang wali, dua orang saksi serta dua orang wakil bagi pihak pengantin lelaki dan perempuan.
Akad nikah dilangsungkan tanpa berjabat tangan antara pengantin lelaki dengan wali atau Pendaftar dan Penolong Pendaftar Perkahwinan.
Perjalanan majlis akad nikah dan khutbah nikah yang diadakan juga tidak seharusnya melebihi 20 minit. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kesemua individu perlu mengambil langkah-langkah keselamatan dan hendaklah mematuhi nasihat yang diberikan, termasuk berkaitan penyediaan cecair pencuci tangan, topeng dan jarak keselamatan antara individu.
Tangguh semua aktiviti tabligh
Terdahulu, JAIS turut menangguhkan kesemua aktiviti tabligh berkuatkuasa serta merta di semua masjid dan surau negeri berkenaan. Menurut Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad, penangguhan itu juga dibuat atas nasihat KKM susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19.
Peningkatan jangkitan COVID-19 serba sedikit menimbulkan kegusaran orang awam. Justeru, sebagai usaha dan ikhtiar bagi mengawal dan mengurangkan risiko jangkitan, JAIS mengambil langkah menangguhkan aktiviti tabligh di semua masjid serta surau di Selangor. Penangguhan berkenaan adalah untuk tempoh sementara sehingga keadaan reda,” katanya menerusi satu kenyataan.
Jarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter dari individu yang mempunyai gejala demam, batuk dan bersin selain mengenakan topeng muka bagi yang tidak sihat. Pastikan premis sentiasa bersih dan bebas kuman, kerap mengelap permukaan dan alatan dengan bahan pembasmi kuman.
Tambahnya, penganjuran program yang membabitkan orang awam seperti kuliah, ceramah, majlis pernikahan masih boleh diteruskan dengan mengambil langkah- langkah pencegahan dan kawalan bagi mengekang penularan wabak tersebut.
Sumber: Harian Metro & Berita Harian