
Pempengaruh dan penyanyi, Agy mengambil keputusan untuk menghentikan sementara segala aktiviti promosi jenama sebagai tanda hormat terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini menjadi perhatian dunia.
Artikel Berkaitan: Agy Tangguh Semua ‘Job’ Promosi Jenama – ‘All Eyes On Sumud Now’
Tanda hormat

Agy berkata, langkah itu dibuat atas dasar keinsafan dan rasa tanggungjawab sebagai seorang manusia yang prihatin terhadap penderitaan rakyat Gaza, bukannya kerana takut terhadap kecaman daripada warganet.
Saya rasa sekarang bukan masa yang sesuai untuk teruskan promosi brand atau muat naik kandungan lagu sendiri. Jadi, saya ambil keputusan untuk berhenti seketika.
Bukan sebab takut dikecam atau risau kena ‘cancel’. Tidak sama sekali. Lebih kepada tanda hormat dan juga akal budi.
Saya rasa sekarang bukan masa sesuai untuk terus mempromosikan jenama, sedangkan ramai yang sedang berjuang di sana (Gaza).
Agy berkongsi perkara itu ketika ditemui di perhimpunan aman solidariti GSF yang berlangsdung di hadapan Keduataan Amerika Syarikat, baru-baru ini.
Tambah Agy, keputusan itu dibuat atas pertimbangan moral dan empati, terutama selepas mengikuti perkembangan misi kemanusiaan GSF yang melibatkan ramai sukarelawan dari Malaysia.
Bila tengok semangat dan keberanian mereka yang menyertai GSF saya rasa sangat terkesan. Mereka berjuang membawa mesej kemanusiaan, jadi sekurang-kurangnya saya boleh tunjuk tanda hormat dengan cara ini.
Saya lihat ramai juga artis lain yang berhenti seketika daripada mempromosikan. Bagi saya, itu perkara normal dan wajar. Lagipun, keputusan ini tidak menjejaskan apa-apa pun. Jenama dan klien faham keadaan sekarang.
Ditanya soal pendapatan, Agy berkata kebanyakan kerjasama yang dijalankan melibatkan jenama tempatan milik usahawan bumiputera yang memahami keputusannya.
Kebanyakan kerja promosi saya adalah untuk jenama tempatan dan mereka pun faham. Hanya ditangguhkan buat sementara waktu.
Kalau pun ada kesan pada pendapatan, saya percaya rezeki itu luas. Insya-Allah, Allah gantikan dengan yang lebih baik. Ramai juga sebenarnya sudah hubungi saya untuk berkolaborasi, tapi saya tolak dulu buat masa ini.








