Di Bijie, China, seorang majikan telah bertindak melampaui batas apabila dia memaksa pekerjanya menelan seekor cacing hidup-hidup selepas mereka gagal mencapai sasaran jualan syarikat.
Telan cacing hidup-hidup
Menerusi video 1:54 saat itu, seorang majikan syarikat dekorasi telah memaksa pekerjanya menelan seekor cacing. Seorang wanita turut dilihat meletakkan cacing di atas telapak tangannya yang dilapikkan dengan tisu, sebelum menelan cacing tersebut dan minum air.
Menurut South China Morning Post, rakaman tersebut dibuat pada 25 Mei lalu. Majikan tersebut memberi beberapa pilihan denda kepada pekerjanya selepas mereka gagal mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Antara pilihan lain yang diberikan ialah, pekerja perlu membayar 500Yuan bersamaan RM300, bersihkan tandas selama 15 minit dan belanja satu syarikat sarapan pagi. Dua orang pengurus syarikat berkenaan berjaya ditangkap dan ditahan selama 5 hari selepas video tersebut tersebar.
Bukan kes pertama
Sebelum ini, majikan sebuah kedai perabot rumah di China turut memperkenalkan hukuman pelik bagi pekerja berprestasi rendah. Kesemua pekerja yang tidak mencapai prestasi yang ditetapkan akan dipaksa makan cacing dan kumbang di hadapan khalayak ramai.
Menurut seorang peguam tempatan yang dikenali sebagai Zhao Xiaodong, memaksa pekerja makan ulat secara langsung telah melanggar hak pekerja dan memberi mereka alasan untuk melaporkan pelanggaran itu kepada jabatan pemeriksaan buruh.