Sebagai umat Islam, kita sememangnya digalakkan untuk beramal dengan Al-Quran kerana kitab tersebut merupakan panduan untuk kehidupan kita seharian. Namun, masih ada modus operandi syarikat yang menjual al-Quran secara dalam talian tidak mendapat kelulusan kementerian.
Seperti perkongsian ustaz ini yang kecewa dengan lambakan percetakan naskhah al-Quran kebanyakkan memperdayakan pembeli dengan testimoni yang tidak masuk akal tanpa memikirkan hukum dan fatwa.
Dicetak guna tulisan rumi
Semakin ditegur, semakin rancak mereka menjual. Semakin dinasihat, semakin ramai yang beli. Al Quran bukan sekadar wajib ditulis dan dibaca dengan huruf-huruf Arab, bahkan mesti ditulis dengan Rasm Uthmani. Nak kira macam mana rasm uthmani dalam tulisan rumi? Itu belum kira lagi masalah cara sebutan, makhraj huruf, persoalan ghunnah tak ghunnah (dengung), isymam, raum, persoalan panjang pendek (mad), persoalan fasohah dan sebagainya. Di sudut hukum, pandangan ulamak dan fatwa, ia jelas dilarang.
Di sudut institusi agama, JAKIM telah mengeluarkan pekeliling yang kemudiannya diedarkan oleh jabatan agama Islam negeri-negeri melarang menggunakan mushaf Al Quran dengan jenama xx, xxx, dan beberapa jenama lain yang dikenal pasti dicetak dengan tulisan rumi. Di sudut undang-undang setiap mushaf Al Quran yang hendak dicetak, diterbit atau diedarkan di Malaysia wajib mendapatkan lesen dari KDN. KDN mempunyai SOPnya tersendiri untuk meluluskannya yang antara lain ia tidak akan mengeluarkan kebenaran kepada Al Quran yang ditulis dalam tulisan rumi.
Tamakkan keuntungan dunia
Saya teringat ketika menghadiri kursus berkaitan percetakan dan pengedaran Al Quran suatu masa lalu, wakil dari KDN menjelaskan larangan Al Quran ditulis dalam tulisan rumi bukan sahaja melibatkan mushaf Al Quran, tetapi juga termasuk penerbitan surah Yasin dan risalah-risalah kecil yang ada di dalamnya ayat-ayat suci Al Quran. Justeru mana-mana mushaf Al Quran yang ayatnya ditulis dengan tulisan rumi pasti diseludup dari luar negara secara haram. Jika dicetak di dalam negara, bererti ia diterbitkan secara tidak sah.
Disebabkan larangan-larangan ini, maka hari ini mereka merancakkan jualan menerusi Facebook. Mengapa begitu tamakkan keuntungan dunia sanggup mempergunakan kitab Allah dengan melanggar fatwa dan membelakangkan undang-undang negara. Lebih membimbangkan sekiranya dalang disebalik penjualan ini adalah orang bukan Islam yang tidak mengetahui selok belok hukum Islam.
Apa yang mendukacitakan ia mendapat sambutan luar biasa daripada netizen dengan alasan nak dapatkan shortcut untuk pandai baca Al Quran.Ribuan komen minta PM, bertanya harga dan sebagainya tanpa menyedari ia adalah salah di sudut hukum dan undang-undang. Disertakan pula dengan komen dari artis dan orang ternama kononnya dia sudah pandai membaca Al Quran hanya dalam beberapa hari sahaja setelah menggunakan mushaf berkenaan.
Sesekali kita mencelah di dalam ruangan komen menasihatkan orang ramai supaya hanya membeli Al Quran yang mendapat kebenaran dari KDN, maka komen itu akan dipadam oleh admin. Ingatlah, lebih baik berdikit-dikit mengenali huruf Al Quran daripada terus membacanya dengan tidak betul kerana bergantung kepada tulusan yang bukan tulisan sebenar Al Quran.
Sumber : Aris Hazlan Ismail