Seram kami baca perkongsian doktor ini dimana beliau berhadapan dengan pesakit yang diberi nama Makcik Milah yang disyaki kekurangan darah akibat jangkitan kuman. Namun apa yang mengelirukan adalah selepas berbeg-beg darah dimasukkan, paras darah Makcik Milah masih tidak normal. Sehinggalah pada suatu hari kejadian yang tak disangka berlaku..Takutnya!
Darah hilang banyak dalam badan
(sekadar gambar hiasan)
Hospital Muar adalah salah sebuah hospital yang agak besar di Negeri Johor. Ia dibina sekitar tahun 1900-an. Sudah lebih 100 tahun hospital ini mendatangkan manfaat kepada penduduk sekitar. Di hospital ini, Wad 16 merupakan wad High Dependancy Unit (HDU). Pesakit-pesakit yang tenat dan perlu pemantauan yang lebih rapi biasanya ditempatkan di sini. Ada 4 bilik di Wad 16. Setiap bilik mempunyai 4 katil pesakit. Makcik Milah baru saja dipindahkan ke Wad 16 beberapa hari lepas. Baru minggu lepas Makcik Milah dan anak-cucu berkumpul meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke 93. Beria sungguh Makcik Milah makan pada hari tersebut. Tiga kali nasi ditambah.
Dua hari selepas itu, Makcik Milah jatuh sakit. Demamnya tinggi. Panas sangat. Cepat saja kering kain-kain basah yang dituam di dahinya. Akhirnya anak Makcik Milah membawanya ke hospital setelah dia meracau-racau seperti tidak sedarkan diri.
Pada asalnya Makcik Milah dimasukkan ke wad perubatan biasa. Kata doktor, selain dari disyaki menghidap jangkitan kuman, paras sel darah merah dalam darahnya juga rendah. Kurang separuh dari paras normal. Kata doktor lagi, mereka keliru kerana masih tidak jumpa punca mengapa darah Makcik Milah berkurangan saban hari.
Berbeg beg darah dimasukkan
(sekadar gambar hiasan)
Berbeg-beg darah telah dimasukkan, namun paras darah beliau masih tidak kembali normal. Puas sudah pemeriksaan dilakukan termasuk prosedur memasukkan tiub kamera ke dalam usus. Manalah tahu terhadap luka di dalam perut yang membuatkan darah hilang dengan banyak dari badan. Masih lagi mereka gagal mencari punca. Setelah beberapa hari, doktor memutuskan Makcik Milah perlu pemantauan yang lebih rapi akibat keadaannya yang bertambah serius. Beliau dipindahkan ke Wad 16. Bilik berkatil 4 itu hanya didiami oleh Makcik Milah seorang.
Minggu itu Wad 16 sedikit kosong. Hanya ada dua pesakit lelaki dan seorang pesakit perempuan. Terpaksa Makcik Milah tinggal seorang di bilik tersebut seorang diri. Anak-anak Makcik Milah selalu menemani beliau. Sewaktu di wad biasa, seorang anak perempuan dibenarkan untuk menunggu beliau di wad. Tapi apa yang peliknya, sekitar jam 9, Makcik Milah akan menjerit-jerit meracau menghalau anaknya pulang. Dan setiap kali beliau meracau, doktor terpaksa menyuntik ubat penenang.
Makcik Milah meracau
(sekadar gambar hiasan)
Di wad tersebut, tiada ahli keluarga dibenarkan untuk menemani pesakit di luar waktu melawat. Setiap malam, Makcik Milah akan terbaring seorang diri di dalam bilik. Para jururawat pula akan menunggu di kaunter jururawat. Mujur ada paparan cctv di kaunter jururawat untuk memantau keadaan di dalam bilik. Malam itu, tepat jam 9, seperti biasa, Makcik Milah mula meracau. Mula-mula perlahan, kemudian suaranya semakin kuat. Jururawat berpandangan sesama sendiri dan terus berlari ke dalam bilik Makcik Milah. “Keluar!!! Keluarrrrrrr!!!!” Teriakan Makcik Milah semakin kuat apabila terlihat jururawat masuk ke dalam bilik. “Makcik, sabar makcik!” “Siti, tolong ambil kain. Ikat sikit tangan Makcik Milah. Habis ‘drip’ dia cabut nanti.”
Belum sempat siti memegang tangan Makcik Milah, jarum infusi darah dari beg ke dalam urat di tangan tercabut. Memancut darah melimpah mengenai cadar dan lantai. Tak cukup dengan itu, tiang tempat beg darah digantung turut jatuh. Pecah beg tersebut dan darah merah mengalir membasahi lantai. Tiba-tiba Makcik Milah terus lemah. Longlai tangannya. Hilang semua tenaga dan kudrat. Dia terbaring lesu. “Siti, telefon doktor on call, beritahu Makcik meracau. Lepas itu telefon juga minta orang datang mop darah ini. Kak Lin kemas katil kejap.” Siti ke kaunter untuk menghubungi Dr. Kamarul.
Kak lin menjilat-jilat darah di lantai
(sekadar gambar hiasan)
Beliau bertugas pada malam tersebut. Kemudian Siti menghubungi unit pembersihan untuk meminta pekerja membersihkan darah yang membasahi lantai. Siti nampak Kak Lin keluar dari bilik Makcik Milah dan tergesa-gesa keluar dari wad. Mungkin untuk mencuci tangan atau menyalin pakaian. 5 minit selepas itu, pintu Wad dibuka. Seorang pekerja lelaki datang membawa mop dan baldi. “Bilik tu,” arah Siti sambil memuncungkan mulutnya. Pekerja itu masuk ke dalam bilik. Tak sampai 10 saat dia keluar semula.
“Tak ada kotor pun.” Siti pelik. Dia menjenguk ke dalam bilik Makcik Milah. Kelihatan Makcik Milah tidur dengan tenang. Langsung tiada kesan darah di lantai. Siti semakin pelik. Kak Lin pula entah ke mana. “Tadi banyak darah. Kejap saya tengok.” Siti menuju ke monitor di kaunter. Video diputar ke belakang. Kelihatan kelibat Kak Lin sedang menjilat-jilat darah di atas lantai. Rakus. Tudung yang putih bertukar merah. Meremang bulu roma siti. Bermacam-macam perkara bermain di fikirannya. Tiba-tiba, tangan lembut menyentuh bahu Siti. “Siti dah tahu eh?” Suara lembut Kak Lin membisik di telinganya.
Nota: Kisah ini dikongsikan oleh Fahmi Hassan dan tidak dapat dipastikan kesahihan cerita
Sumber : Kamarul Ariffin Nor Sadan