
Microsleep merupakan antara penyebab kepada kemalangan jalan raya di negara ini dengan anggaran sebanyak 1,305 kematian direkodkan antara 2011 hingga 2021.
Artikel Berkaitan: Sedar-Sedar Dah Langgar Pokok & Terbakar, Lelaki Kongsi Bahaya Microsleep
Artikel Berkaitan: ‘Terlelap Seketika, Bila Buka Mata….’ – Doktor Kongsi Pengalaman Sendiri Alami Microsleep
Apa itu microsleep?
Menerusi hantaran di Facebook, Public Health Malaysia memberi penjelasan kepada orang ramai tentang microsleep.
Microsleep ialah episod tidur yang sangat singkat, beberapa saat sahaja, yang berlaku tanpa anda sedar ketika cuba untuk kekal berjaga. Mata boleh nampak seperti masih terbuka tetapi otak tidak memproses apa yang berlaku di depan.
Dalam beberapa saat ini, kereta boleh bergerak puluhan meter tanpa kawalan.
Sebelum ini ramai menyangka microsleep hanya berlaku kepada pemandu, namun sebenarnya terdapat banyak lagi golongan individu yang berisiko berdepan dengan perkara ini.
Bukan ketika memandu sahaja. Microsleep juga boleh berlaku ketika oncall malam, pelajar dalam kuliah yang panjang, pekerja syif yang memantau mesin, ibu bapa yang kurang tidur kerana menjaga bayi, bahkan mereka yang duduk lama menghadap komputer atau telefon.
Risiko meningkat dalam kalangan mereka yang kurang tidur setiap hari, pemandu jarak jauh, pekerja syif malam, mereka yang ada masalah tidur seperti obstructive sleep apnea dan individu yang mengambil ubat yang menyebabkan mengantuk.Tekanan kerja yang tinggi dan keletihan berpanjangan juga menjadikan otak lebih mudah “terpadam” seketika.
Perkara yang perlu dilakukan

Justeru, Public Health Malaysia juga menyenaraikan empat perkara yang boleh anda lakukan untuk mengelakkan diri daripada microsleep.
1. Kunci utama ialah cukup tidur dan jangan memaksa diri ketika badan sudah memberi amaran.
2. Jika memandu jauh, berhenti rehat setiap dua jam, regangkan badan dan jika mata terasa sangat berat, ambil power nap selama sepuluh hingga dua puluh minit.
3. Elakkan memandu seorang diri pada waktu paling mengantuk seperti awal pagi.
4. Jika anda kerap sangat mengantuk pada siang hari walaupun rasa sudah cukup tidur, berjumpalah dengan doktor untuk penilaian lanjut.
Sumber: Facebook Public Health Malaysia








