Jika sebelum ini Sugu dan Pavithra pernah mengajak Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menziarahi rumah mereka setelah menerima sumbangan barangan dapur dan masakan beberapa bulan lalu. Namun begitu, hajat tersebut masih belum kesampaian sehingga hari ini.
Terbaru, pasangan itu dan beberapa individu lain yang merupakan penerima bantuan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat berpeluang berinteraksi bersama Tan Sri Muhyiddin melalui satu sidang video khas.
Penerima bantuan PRIHATIN
Menerusi laporan Bernama, sidang video itu berlangsung ketika Muhyiddin melawat Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) di Kementerian Kewangan bagi meninjau operasi serta status pelaksanaan langkah-langkah di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020, PRIHATIN dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang jumlah keseluruhannya RM295 bilion.
Kesemua penerima-penerima yang dihubungkan melalui sidang video itu mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan pihak kerajaan atas bantuan yang disalurkan itu. Antara yang berpeluang berinteraksi dengan Muhyiddin ialah pasangan suami isteri YouTuber yang menggunakan nama Sugu Pavithra.
Sempat mengusik
Menerusi vidoe itu juga, Muhyiddin sempat mengusik M. Sugu dan isterinya S. Pavithra dengan bertanya “Bila mahu belanja saya makan nasi beriani kambing.” Pasangan yang merupakan penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) itu berkata bantuan yang diberikan telah meringankan beban mereka terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pasangan tersebut menjadi viral sejak awal tahun ini apabila mereka sering memuat naik video masakan. Sehingga kini mereka telah mempunyak 600k pengikut di Youtube.
Sumber: Bernama