Menerusi Instagram Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan meninjau pembukaan semula sekolah yang bermula sejak hari Rabu lalu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Danau Kota, Setapak.
Meluangkan masa beramah mesra
View this post on Instagram
Menurut Istana Negara, Baginda berkenan mengadakan lawatan kerja ke sekolah tersebut bagi meninjau pembukaan semula sesi persekolahan yang bermula sejak dua hari lalu. Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah di sekolah tersebut pada jam 10 pagi disambut oleh Menteri Kanan Pendidikan, Dr. Radzi Jidin dan Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan.
Di dalam lawatan ini, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima sembah taklimat berkenaan pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah KPM dan tatacara kebiasaan baharu yang perlu dipatuhi oleh para guru, murid dan ibu bapa atau penjaga. Ini adalah penting bagi mencegah penularan wabak COVID-19, khususnya di sekolah-sekolah berikutan pembukaan semula sesi persekolahan untuk kelas peperiksaan awam yang melibatkan murid Tingkatan Lima dan Enam.
Keberangkatan Al-Sultan Abdullah hari ini mencerminkan keprihatinan tinggi Seri Paduka Baginda terhadap keselamatan dan kesihatan para guru dan murid sekolah di seluruh Malaysia yang kembali bertugas dan belajar secara bersemuka setelah hampir tiga bulan sekolah-sekolah diarah tutup berikutan penularan COVID-19.
Menzahirkan penghargaan kepada KPM
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, pihak sekolah dan semua guru di atas kesiapsiagaan serta persediaan rapi bagi menjamin keselamatan diutamakan dan mengelakkan risiko jangkitan di kalangan guru dan murid sepanjang berada di sekolah.
Para guru dan murid juga diberi nasihat agar bersabar menjalani sesi persekolahan dengan tatacara kebiasaan baharu, termasuk penjarakan sosial, dan sentiasa berdisiplin menjaga kebersihan diri serta mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan di dalam dan luar waktu persekolahan. Akhir sekali, Al-Sultan Abdullah mendoakan semoga semua guru dan murid di Malaysia yang kembali bertugas dan bersekolah dipermudahkan segala urusan dan dilindungi Allah SWT.
Sumber: Istana Negara