Pengarah terkenal tanah air iaitu Datuk Yusof Haslam dilantik menjadi ahli Panel Perundingan Pencegahan Rasuah (PPPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) buat kali kedua semalam. Menerusi laporan Malaysiakini, pelantikannya itu adalah bagi membantu menangani rasuah dalam semua bidang walaupun beliau dari latar belakang perfileman.
Terima kasih di atas pelantikan ini
Menurut Datuk Yusof Haslam, kali pertama pelakon dan penerbit drama siri Gerak Khas itu menganggotai PPPR adalah empat tahun lalu ketika di bawah pemerintahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Tambahnya, pelantikan tersebut bukan bertujuan untuk memantau bidang perfilemen sahaja malah, semua bidang secara umum. Ucapan terima kasih di atas pelantikan dan kepercayaan turut diucapkan oleh beliau.
Bincang perkara yang memberi manfaat
Mengulas mengenai harapan dari segi penambahbaikan yang perlu dilakukan SPRM, beliau memberitahu perkara tersebut akan dibincangkan ketika mesyuarat nanti.
Pelantikan ahli badan bebas dibuat agar agensi ini dapat mempamerkan ketelusan dan integriti dalam menjalankan operasi. Tapi kami belum bermesyuarat. Dalam mesyuarat nanti akan dibincang tentang perkara yang boleh memberi manfaat untuk kebaikan bersama,” katanya yang menjangka mereka akan mengadakan pertemuan sebulan sekali.
Semalam, SPRM mengumumkan 24 ahli badan bebas. Selain 12 ahli PPPR, turut dilantik adalah tujuh ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dan lima ahli Panel Penilaian Operasi, melibatkan mereka daripada pelbagai bidang.
Sumber: Malaysiakini