Pelakon, Puteri Balqis memaklumkan bahawa dia kini berada di fasa bahagia, bukan sahaja kerana kerjaya yang semakin baik tetapi turut diserikan dengan detik pertunangannya baru-baru ini.

Artikel Berkaitan: Puteri Balqis Kongsi Momen Bertunang, Nukilan Surat Ibu Raih Perhatian – ‘Aku Lahir Dari Duka, Kau Dewasa Bersama Luka’

Artikel Berkaitan: Difitnah Ambil Dadah, Puteri Balqis Pertahankan Maruah Diri & Keluarga – ‘Kami 100% Normal’

Fasa bahagia

Ketika ditemui OhBulan!, Puteri Balqis atau mesra disapa Aqish, 18, bagaimanapun memilih untuk tidak mengulas dengan lebih lanjut mengenai pertunangannya, selain mengakui kurang selesa berkongsi hal peribadi.

Tentang keluarga dan pertunangan saya tak mahu bercerita lebih sebab mereka (keluarga) telah melalui pelbagai perkara.

Jadi, saya mahu berkongsi tentang kerjaya sahaja. Soal peribadi, biar saya jawab yang hanya boleh dijawab sahaja.

Aqish berkata demikian ketika ditemui pada sidang media kempen Ramadan & Raya 2026 ‘Sama-Sama Berkat’ (‘RR2026: Jwanjih Drama’) yang berlangsung di TGV, KLCC pada Rabu.

Pada majlis tersebut, Aqish dilihat turut ditemani oleh tunangnya yang dikenali sebagai Didi.

Dalam pada itu, Aqish menyifatkan kehidupannya kini sudah lengkap apabila dikelilingi oleh ahli keluarga dan insan tersayang.

Saya sangat-sangat bahagia (keluarga dan kerjaya). Ia seumpama ada satu ‘puzzle’ yang sudah diselesaikan tapi ada satu ‘puzzle’ lain yang mencantikkan lagi semua.

Ya, ia melengkapkan. Saya sangat berbesar hati dengan keluarga saya dan keluarga tunang saya yang sangat baik.

Terdahulu, menerusi hantaran di media sosial, pelakon drama Keluarga Itu tersebut berkongsi momen hari pertunangannya yang dipercayai dilangsungkan pada 12 Ogos lalu.

Imbas kembali, Aqish pernah tampil menjelaskan status dua jejaka yang kerap dilihat bersamanya, sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi di media sosial.

Menurut Puteri Balqis, lelaki yang dikenali sebagai Faris, 25, merupakan ayah tirinya manakala seorang lagi iaitu Didi adalah tunangnya.