Berang dengan tindakan rakan sebilik yang sering kencing merata, seorang lelaki bertindak memukul rakan sehingga maut. Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah pusat jagaan pesakit mental di Tambun, Perak.
Mangsa dikejarkan ke hospital selepas mengalami lebam di bahagian mata, bawah mata dan leher namun disahkan telah meninggal dunia.
Tidak sedarkan diri
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz memaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi. Penghuni lain menyedari kekecohan berlaku dan bertindak memaklumkan kepada penjaga pusat.
Berlaku kekecohan antara dua penghuni terbabit dan apabila rakan lain yang nampak mangsa tidak sedarkan diri, mereka terus meminta bantuan penjaga.
Penjaga itu kemudian memberitahu kepada rakan penjaga yang lain dan kemudiannya telah memanggil pihak hospital dan membawa mangsa ke hospital.
Sampai di hospital kemudiannya Pembantu Perubatan mengesahkan dia telah meninggal dunia.
Suspek berkenaan dikatakan tidak berpuas hati kerana mangsa asyik terkencing merata-rata. Kini, pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan menyemak rekod sama ada pusat jagaan berdaftar atau tidak.
Lebam bahagian mata & leher
Didapati ada kesan-kesan lebam pada mata, bawah mata dan juga pada lehernya akibat dipukul menggunakan tangan.
Suspek kini ditahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan akan menjalani pemeriksaan psikiatri bergantung hasil bedah siasat.
Pihaknya juga sedang menunggu hasil laporan bedah siasat untuk tindakan lanjut.
Sumber : Berita Harian, Astro Awani