Filem ‘The Exorcism of Emily Rose’ arahan Scott Derrickson antara filem yang menarik perhatian dunia terutama penggemar filem seram pada tahun 2005. Kalau korang nak tahu, filem tersebut diinspirasikan daripada pengalaman sebenar seorang gadis Jerman bernama Anneliese Michel.
Syaitan sudah merasuk
Anneliese Michel merupakan penganut Katolik yang menetap di Bavaria, Jerman Barat pada tahun 1960-an. Kisah ini bermula apabila Anneliese berusia 16 tahun, tiba-tiba pengsan di sekolah dan mula berjalan dalam keadaan bingung selepas dirinya sedar. Meskipun Anneliese tidak mengingat peristiwa tersebut, keluarga dan rakan-rakannya mengatakan bahawa dia berada dalam keadaan separa sedar pada ketika itu.
Ketika usianya 17 tahun, Anneliese melalui kejadian yang sama di mana dia membasahkan tempat tidurnya dalam keadaan tidak berapa sedar. Pada ketika itu juga, badannya kelihatan kejang dan bergetar secara tidak terkawal. Selepas dua kali insiden yang sama berlaku, Anneliese dibawa ke hospital dan berjumpa dengan pakar neurologi. Menurut pakar, dia mempunyai masalah ‘temporal lobe epilepsy’ iaitu satu keganjilan yang mengakibatkan hilang ingatan, sawan dan juga halusinasi.
Mendengar mengenai perkara tersebut, Anneliese mula mengambil ubat untuk mengawal penyakitnya dan menyambung pelajaran di University of Wurzburg pada tahun 1973. Penderitaan Anneliese tidak terhenti di situ apabila ubat yang diambilnya itu gagal untuk membantunya. Bahkan, semakin hari keadaannya bertambah teruk walaupun masih makan ubat tersebut. Selepas itu, Anneliese mula mempercayai bahawa syaitan sudah merasuk dirinya dan penawar lain diperlukan.
Melakukan perkara yang gila dan ganjil
Anneliese juga mengatakan dia mula melihat wajah syaitan dan sering mendengar bisikan-bisikan makhluk tersebut. Tambahnya, dia mendengar bisikan tersebut ketika hendak sembahyang. Syaitan tersebut seolah memberitahu bahawa dia bakal ke neraka.
Kesemua paderi pada ketika itu dipercayai menolak rayuan Anneliese untuk berubat. Jika mereka ingin membantunya, mereka perlu mendapatkan keizinan daripada Bishop. Oleh itu, mereka menasihati gadis tersebut untuk mendapatkan rawatan daripada hospital. Mempercayai diri dirasuk, Anneliese telah melakukan perkara-perkara yang gila dan ganjil. Seabagai contoh, dia akan mengoyakkan bajunya, merangkak di bawah meja dan menyalak seperti anjing.
Paling ngeri, dia memakan labah-labah, arang kayu, menggigit kepala burung sehingga putus serta minum air kencingnya sendiri. Risau melihat keadaan tersebut, ibu Anneliese telah membawanya berjumpa dengan seorang paderi yang dikenali sebagai Ernst Alt. Ernst percaya gadis tersebut telah dirasuk dan tidak menghidap sebarang penyakit. Ernst juga telah meminta persetujuan daripada Bishop Josef Strangl untuk melakukan ‘exorcism’ tetapi dengan syarat ianya perlu dilakukan secara rahsia.
Upacara pengusiran hantu dan iblis
Buat pengetahuan korang, exorcism merupakan satu pacara pengusiran hantu dan iblis. Upacara ini telah wujud sekian lama dalam pelbagai budaya dan agama. Bagi penganut agama Kristian Katolik, upacara ini popular sekitar tahun 1500-an. Paderi akan melaungkan kalimat berbunyi ‘Vade Retro Satana’ yang membawa maksud pergi jauh syaitan.
Sebanyak 67 exorcism dalam tempoh 10 bulan telah dilakukan terhadap Anneliese oleh Alt dan juga Renza. Upacara tersebut memakan masa selama empat jam setiap pagi. Sepanjang rawatan tersebut, Anneliese percaya terdapat enam jenis syaitan sudah merasuk dirinya. Antaranya, Judas, Cain, Iscariot, Adolf Hitler, Nero dan Lucifer.
Pada 1 Julai 1976, Anneliese disahkan meninggal dunia kerana tidak cukup nutrisi dan dehidrasi. Di samping itu, tulang lututnya turut patah dan koyak selepas disyaki melutut ketika upacara tersebut berlangsung. Berita kematian gadis berusia 23 tahun itu ternyata menjadi berita sensasi di Jerman sehingga ibunya dan kedua-dua paderi telah dihadapkan ke mahkamah. Ibu dan bapa Anneliese terlepas dari sebarang hukuman kerana menurut undang-undang Jerman, mereka sudah menderita. Manakala, kedua-dua paderi tersebut dipenjara selama enam bulan dan diletakkan di bawah pengawasan selama tiga tahun.
Sumber: Lola, Creap Freek & Allthatsinteresting