Setiap ibu bapa sudah pasti ingin memberi nama yang terbaik buat anak-anak. Apabila bercakap mengenai nama, ada kisah di sebalik setiap nama yang diberikan ibu bapa kepada cahaya mata mereka. Ada di antara kita yang mempunyai nama ringkas, panjang atau berkait dengan sesuatu peristiwa.
Seorang gadis di Gedongkiwo, Yogyakarta telah dinamakan dengan nama yang paling simple dan terdiri daripada satu huruf sahaja iaitu ‘Y’.
Seringkas yang mungkin
Menerusi laporan Kumparan, gadis tersebut memberitahu pada awalnya ayahnya hendak menamakannya dengan nama Dasih Utami. Namun, sewaktu melakukan urusan pendaftaran, ayahnya mendapat idea untuk memberikan nama kepadanya seringkas yang mungkin.
Y turut memaklumkan yang dia sering diejek kerana namanya. Di samping itu, proses pendaftaran untuk mengambil peperiksaan di sekolah agak sukar kerana namanya terlalu pendek. Menurut ayahnya iaitu Slamet Sugiyono, nama Y mempunyai maksud yang mendalam. Y diambil daripada huruf jawi yang terakhir iaitu Ya dan ia membawa maksud sempurna.
Di samping itu, Y juga mempunyai nama panjang yang diberikan oleh bapanya secara tidak rasmi. Nama tersebut mempunyai 16 patah perkataan iaitu Ai Nur Siti Dyah Ayu Meganingrum Dwi Pangastuti Lestari Endang Pamikasih Sri Kumalasari Dewi Puspita Anggraini.
Sumber: Kumparan