Seorang jurujual wanita, ditemui mati dengan kesan kelar di leher selepas dipercayai dibunuh di rumahnya di Taman Kelisa Ria, Amanjaya di Sungai Petani, semalam. Mayat mangsa yang dikenali sebagai Kuek Choo Hong, berada dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah semasa ditemui oleh anak saudaranya.
Terbaru, suspek utama kes pembunuhan tersebut ditemui mati tergantung di papan iklan di Jalan Lencongan Timur dekat Bukit Bintang, hari ini.
Menerima panggilan kecemasan
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah memberitahu mayat Tan Kok Jooi, yang juga suami kepada mangsa bunuh ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan 7.40 pagi tadi.
Pagi ini kita menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengatakan terdapat seorang lelaki menggantung diri di papan iklan. Siasatan awal mendapati lelaki terbabit adalah suspek yang dicari bagi membantu siasatan kes pembunuhan isterinya semalam.
Tambahnya, pihak polis turut menemui sebuah kereta yang dipercayai milik suspek dan ditinggalkan kira-kira 50 meter dari tempat dia ditemui tergantung. Ujarnya lagi, siasatan awal unit forensik ke atas kereta tersebut, mereka tidak menemui sebarang petunjuk yang bersangkut dengan pembunuhan itu. Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Meneruskan siasatan
Siasatan lanjut di rumah turut menemui sehelai seluar jeans yang lembab di dalam mesin basuh dipercayai sudah dibasuh, jadi kita akan tetap meneruskan siasatan ke atas kes pembunuhan itu.
Pada masa yang sama, Adzli memaklumkan kes tersebut masih diteruskan meskipun suspek utama kes berkenaan ditemui mati. Ujarnya lagi, kejadian itu dilakukan oleh orang dikenali kerana tiada kesan pecah masuk ke rumah berkenaan sebelum mayat ditemui.
Sering bergaduh
Sekadar gambar hiasan
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Shamsudin Mamat memaklumkan siasatan awal mendapati mangsa tinggal di rumah itu bersama suaminya berusia 62 tahun. Menurut beliau, mangsa bekerja di pasar raya berkenaan bersama kakaknya, tetapi dia didapati tidak hadir bertugas pada hari kejadian.
Kakak wanita itu cuba menghubungi mangsa dan suami mangsa, tetapi gagal lalu pergi rumahnya bagi melihat keadaan adiknya kerana bimbang berlaku sesuatu. Sebaik tiba, mereka mendapati pintu rumah mangsa berkunci mangga dari luar, namun alat penghawa dingin dibuka. Mereka memanggil mangsa, tetapi tiada sahutan lalu bertindak memecahkan mangga pintu rumah sebelum anak saudaranya menemui mangsa di atas katil dalam salah sebuah bilik.
Siasatan awal polis mendapati terdapat kesan kelar sepanjang 12 sentimeter pada leher mangsa dan dianggarkan sudah meninggal dunia dalam tempoh 48 jam. Menurut jiran, kali terakhir mereka nampak suami mangsa keluar dari rumah itu pada malam 8 Ogos lalu dengan menaiki kereta Proton Iswara dan pasangan itu dikatakan sering bergaduh.
Sumber: Harian Metro