Bermula 17 Ogos 2020, pergerakan rentas sempadan Malaysia dan Singapura telah pun dibuka menerusi laluan hijau timbal balik (RGL) dan pengaturan ulang alik berkala (PCA). Mereka yang layak sudah menghantar permohonan masing-masing sejak 10 Ogos lepas. Sebagai permulaan, bagi kategori pertama, seramai 400 orang dibenarkan dalam seminggu manakala kategori kedua seramai 2,000 orang sehari.
Teruja setelah hampir 5 bulan berjauhan dengan keluarga, seorang lelaki yang terkandas di Singapura kerana tuntutan kerja berkongsi perjalanan pulang ke tanah air pada hari ini. Bergerak seawal 6 pagi, dia merupakan individu kedua yang pulang ke Malaysia hari ini setelah pintu sempadan dibuka.
Isteri menangis 2 kali
Saya bukan orang pertama pulang ke Malaysia kerana sebelum ini dah ramai yang balik. Cuma saya balik mengikut prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan Singapura dan Malaysia. Kerajaan Singapura telah menghadkan seramai dua ribu orang dalam sehari untuk pulang ke Malaysia dan saya orang yang kedua yang balik pada hari ini.
Menurut Khalid, beliau terkandas sejak dari 17 Mac 2020 ketika Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan baru berpeluang balik ke Malaysia mengikut undang-undang hari ini 17 Ogos 2020 jam 7 pagi. Sebelum ini beliau berulang alik kerja dari Johor Bahru ke Singapura sejak 8 tahun dahulu namun terpaksa menetap di sana selepas pandemik melanda dunia.
Ditanya mengenai kesukaran yang dihadapi olehnya sepanjang tempoh PKP di Singapura, menurutnya sama seperti di Malaysia kerana banyak kedai yang tutup. Kesukaran yang dihadapi mungkin bagi pihak isterinya kerana terpaksa menguruskan anak seorang diri.
Isteri saya menangis dua kali sepanjang saya berada di Singapura kerana anak tak sekolah. Jadi dia terpaksa bekerja sambil menguruskan anak.
Walau bagaimanapun, isterinya memahami keadaan yang dihadapi disebabkan pandemik ini. Sepanjang tempoh PKP beliau tetap bekerja seperti biasa kerana kilang tempatnya bekerja membuat produksi dalam penghasilan petroleum dan cari gali minyak.
Kos hampir 2k untuk kembali bekerja
Tak pernah terfikir nak balik secara haram sebab keluarga bukan orang senang. Kalau apa-apa terjadi memang susah. Lagipun saya memang cari makan disini sudah 8 tahun.
Dalam pada itu, Khalid turut tidak pernah terfikir untuk pulang ke Malaysia secara haram memandangkan beliau risau jika dikenakan apa-apa tindakan. Syarikatnya telah mengeluarkan surat kebenaran balik yang dipanggil Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) untuk tempoh 14 hari dari tarikh surat dikeluarkan. Pada 27 Ogos 2020 beliau akan kembali semula ke Singapura untuk bekerja namun terpaksa menjalani tempoh kuarantin di hotel selama 7 hari.
Bagi sesiapa yang ingin kembali bekerja di Singapura, diwajibkan untuk kuarantin di hotel selama 7 hari sebelum memulakan pekerjaan kembali. Saya perlu membayar 186sgd + 480sgd untuk hotel kuarantin 7 hari, anggaran dalam 700 SGD. Jadi jika anda mahu pulang malaysia perlu cuti 2 minggu prabayar, rm200 + sgd700. Untuk balik ke Malaysia, RM200 diperlukan untuk kos swab test covid.
Bayaran hotel ditanggung oleh syarikat milik Khalid bekerja jika dia bercuti 14 hari sahaja. Jika beliau pulang melebihi tempoh ditetapkan, beliau perlu tanggung segala kos kuarantin sendiri.
Kuarantin sehingga dapat keputusan
Ok. Sampai rumah kuarantin dekat rumah ye kawan. Result swab test akan dapat by SMS atau call dalam masa 24 jam. Jika negatif boleh pergi Pejabat Kesihatan Malaysia bukan di hospital untuk potong tag dekat tangan.
Buat masa ini Khalid masih lagi menjalani kuarantin di rumah sebelum terima keputusan dari pihak hospital.
Sumber : Khalid Hidar