Sekitar tahun 90-an, seorang pelajar yang dikenali sebagai Audrey Melissa Bathinathan ditemui meninggal dunia di sebelah pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Kinabalu, Kuala Lumpur. Mayat Audrey ditemui oleh seorang pekerja Alam Flora pada masa tersebut.
Lebih menyayat hati, mayat pelajar itu ditemui masih berpakaian seragam sekolah, tetapi beg dan kasut sekolahnya telah hilang ketika mayatnya dijumpai. Badannya juga penuh dengan lumpur dan tanah, manakala seluar dalam yang dipakainya telah diturunkan ke paras buku lali.
Siapa Audrey Bathinathan?
Foto: Audrey Bathinathan
Audrey Bathinathan merupakan seorang pelajar berusia 17 tahun. Dia bersekolah di Sekolah Menengah Perempuan Methodist di Jalan Cenderasari, Kuala Lumpur. Audrey seorang pustakawan dan pelajar contoh di sekolah tersebut. Dia merupakan anak tunggal kepada Margaret Francis. Ibunya seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai pereka grafik. Mereka berdua menetap di Taman Industri Maju Jaya, Puchong, Selangor.
Disebabkan sesi persekolahan masih berbaki beberapa bulan sahaja lagi, ibunya membuat keputusan untuk tidak membuat pertukaran sekolah. Oleh itu, Audrey terpaksa berulang-alik ke sekolah dari Puchong ke Kuala Lumpur menaiki bas.
Manakala, ibunya pula akan menelefon setiap waktu tengah hari demi memastikan anaknya sudah berada di rumah setelah pulang dari sekolah. Setiap hari, Audrey akan menggunakan terowong bawah tanah dari Dayabumi ke Masjid Negara untuk ke sekolahnya.
Mayat Audrey ditemui
Lokasi penemuan mayat Audrey
Pada 17 Mei 1999, Audrey dipercayai telah keluar dari rumah pukul 5.30 pagi untuk ke sekolah manakala, ibunya juga telah bergerak ke tempat kerja. Seperti biasa, Audrey telah turun di stesen bas, kemudian berjalan bersama seorang rakannya ke Kompleks Dayabumi.
Di situ, Audrey dan kawannya mengambil haluan masing-masing. Audrey dilihat melintas jalan dan berjalan di kaki lima British Council dan melalui jalan ke Bukit Aman. Dia juga telah menggunakan terowong bawah tanah yang menghubungkan Kompleks Dayabumi dan Jalan Cenderasari itu. Buat pengetahuan korang, terowong tersebut jarang digunakan oleh pelajar sekolah kerana penagih dadah dan gelandangan sering menjadikan lokasi tersebut untuk melakukan aktiviti tidak bermoral.
Apabila tiba waktu tengah hari, Margaret berasa hairan dan gelisah kerana anaknya tidak mengangkat telefon pada waktu itu. Perasaan risau semakin bertambah apabila dia mendapati anaknya tiada di rumah sewaktu pulang dari tempat kerja. Margaret telah menelefon adik-beradiknya yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur untuk memaklumkan mengenai kehilangan Audrey dan mereka memulakan misi pencarian. Mereka juga telah menelefon beberapa orang rakan Audrey dan kesemua mereka memberitahu Audrey tidak hadir ke sekolah pada hari tersebut.
Terkejut dengan berita kematian anak
Foto: Margaret Francis
Margaret juga telah membuat laporan polis berkenaan kehilangan Audrey di Balai Polis Puchong. Keesokan harinya, Margaret telah menerima panggilan telefon dari guru besar sekolah anaknya, dan mereka memberitahu mayat Audrey Melissa ditemui bersebelahan satu pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Kinabalu oleh seorang pekerja Alam Flora.
Menurut pihak sekolah, mayat Audrey ditemui masih berpakaian seragam sekolah, tetapi beg dan kasut sekolahnya telah hilang. Badannya dipenuhi kesan lumpur dan tanah, manakala seluar dalam yang dipakainya pada hari itu telah diturunkan ke paras buku lali. Terkejut akan berita tersebut, Margaret segera ke hospital. Hasil laporan forensik, terdapat luka di kepalanya dan kesan tersebut dipercayai dipukul dengan batu. Pada masa yang sama, ujian forensik mendapati pelajar itu telah dirogol, dan kemudiannya dicekik hingga mati sebelum mayatnya dibuang di tepi pencawang tersebut.
Menurut Konsultan Patologi, Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Zahari Noor, Audrey dipercayai meninggal dunia antara 4.30 pagi hingga 7.00 pagi pada 18 Mei 1999 kerana kekurangan oksigen akibat dicekik. Tambah beliau, kematian Audrey mempunyai dua kemungkinan. Pertama, dia berada dalam keadaan tidak sedarkan diri atau pengsan selama 20 jam sebelum dicekik oleh penyerangnya, ataupun penyerangnya telah menyembunyikan Audrey dalam keadaan masih hidup dan sedar selama 20 jam, sebelum mencekiknya.
Tambah Dr Zahari, badan Audrey mempunyai kesan calar dan lebam yang menunjukkan dia telah cuba untuk melawan penyerangnya, manakala terdapat koyakan baru di selaput daranya dan itu menandakan Audrey tidak pernah mengadakan hubungan seks dengan sesiapapun sebelum ini. Ia sekaligus dijadikan bukti di mana pelajar itu bukan seorang yang kaki sosial.
Dua lelaki ditahan
Pihak polis telah menahan dua orang suspek yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan Audrey. Suspek pertama ialah Karupiah Ponniah yang merupakan seorang penagih dadah. Karupiah pernah didakwa atas tuduhan mencabul seorang pelajar di kawasan yang sama dilalui oleh Audrey untuk ke sekolah pada 11 Mei 1999. Bagaimanapun, polis tidak dapat mengaitkan Karupiah dengan pembunuhan Audrey kerana kesan air mani pada mayat gadis itu tidak sepadan dengan profil DNAnya.
Selepas itu, pihak polis telah mengedarkan foto suspek kedua iaitu seorang lelaki bernama Chris. Chris juga seorang penagih dadah yang berusia 30-an. Chris dipercayai gemar berlegar berhampiran pencawang TNB tempat mayat Audrey dibuang sebelum ini. Namun begitu, usaha polis untuk menangkap Chris tidak berjaya meskipun seorang ahli perniagaan telah menawarkan ganjaran RM 20,000 untuk sesiapa yang mampu memberikan maklumat mengenai Chris.
Sejak dari kes tersebut, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Alam Flora telah membersihkan semak di lokasi mayat Audrey ditemui dan memasang pagar di sekelilingnya. Sebuah syarikat kawalan keselamatan telah ditempatkan di kawasan terowong bawah tanah tersebut bagi memastikan keselamatan pelajar dan orang ramai yang lalu lalang di kawasan tersebut terjamin.
Memfailkan tuntutan ganti rugi
Pada 15 Disember 1999, Margaret Francis telah memfailkan tuntutan ganti rugi berasaskan undang-undang kecuaian terhadap guru besar sekolah Audrey dan Kerajaan Malaysia. Selain itu, Margaret juga menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan. Menurut Margaret, tuntutan tersebut dibuat bukan kerana wang sebaliknya dia hanya mahukan keadilan buat anaknya. Bagaimanapun, tuntutan tersebut dipercayai diselesaikan di luar mahkamah.
Tahun demi tahun berlalu, kes pembunuhan Audrey masih tiada perkembangan. Pada tahun 2006, wanita itu sekali lagi berjuang untuk menuntut keadilan buat anaknya dan dia meminta pihak polis untuk membuka semula kertas siasatan berhubung kes anaknya. Aduan Margaret turut mendapat perhatian Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Persekutuan, Datuk Fauzi Shaari pada masa tersebut.
Ujar Fauzi, beliau tidak mahu memberi harapan sebaliknya berjanji akan meneliti semula kes tersebut. Tambahnya, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa ada pelajar yang ternampak kejadian tersebut tetapi takut untuk tampil menjadi saksi, ataupun ada saksi yang tidak mahu terlibat. Jelasnya lagi, kes tersebut tidak pernah ditutup dan mereka masih mencari petunjuk baru dan memanggil semula saksi. Sepanjang kes tersebut disiasat, seramai 41 orang lelaki telah ditahan dan dipanggil untuk membantu siasatan. Bercerita mengenai kehidupan Margaret pula, wanita itu memberitahu kehidupannya sudah tiada makna lagi.
Pada tahun 2007, Margaret diserang penyakit strok. Dia juga dipercayai sudah tidak bekerja dan hanya mendapat pendapatan bulanan daripada Socso dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Margaret juga telah menjual rumah lamanya bagi menampung perbelanjaan kos perubatan. Sementara itu, laluan pejalan kaki terowong bawah tanah tersebut telah dibaik pulih dan kini dibuka pada orang awam pada Jun 2016.
Sumber: The Sun Daily, Orangkata, Buku Karangkraf, PressReader & Amazingnara