
Pelakon Zarina Zainuddin menyifatkan individu yang mendakwa kilang pulut kuning miliknya kotor sebagai seseorang yang kurang bijak.
Artikel Berkaitan: ‘Cermin Kereta Pecah, Anak Hanyut Di Sungai’ – Zarina Zainuddin ‘Throwback’ Pengalaman Beraya Dengan Anak Autistik
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Netizen Puji Nyanyian Zarina Zainuddin, Sebak Dengar Bait Lirik ‘Tiada Lagi Doa Ayah Ibu’ – ‘Sampai Hati Buat Saya Nangis’
Kilang pulut kuning kotor

Ketika ditemui OhBulan!, Zarina menafikan dakwaan bahawa kilang pulut kuning miliknya tidak dijaga dari segi kebersihan sehingga didakwa dipenuhi kencing tikus.
Dedah Zarina, individu yang memuat naik dakwaan tersebut merupakan bekas pekerja yang diberhentikan.
Saya rasa dia kurang cerdik sebab melontarkan amarah dengan cara yang tidak benar.
Saya tak nak ambil kisah sangat sebab banyak perkara lain yang lebih penting untuk difikirkan.
Terserah nak percaya atau tidak. Kalau orang dah marah, mereka boleh buat macam-macam, jadi mereka ambil langkah yang tak bagus.
Cara dia nak menyakitkan orang itu amatlah jahat. Saya kenal pekerja itu.
Zarina berkata demikian ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Next Level Gabungan mStar, Suria dan Kuali di Saloma Kuala Lumpur, pada Rabu.
Impak pada perniagaan

Mengulas lanjut mengenai kesan terhadap perniagaan susulan dakwaan yang tercetus, pelakon berusia 55 tahun itu akui lebih ramai orang yang membuat pesanan.
Tambahnya, dia tidak gentar dengan dakwaan yang dilihat sebagai satu bentuk sabotaj kerana yakin dengan kepercayaan pelanggan yang pernah membeli pulut kuning serta berkunjung ke kilangnya.
Tak beri impak pada perniagaan saya sebab orang yang dah makan dan datang kilang saya pasti tahu.
Malah, lebih banyak tempahan yang saya terima. Dalam kilang saya bersih.
Selain itu, kilang saya juga lengkap dengan sijil Halal, MESTI dan SSP. Kita bukannya kilang tepi jalan.
Selain itu, Zarina turut menafikan dakwaan dirinya yang menggunakan sumbangan MARA bernilai RM1 juta demi kepentingan diri sendiri.
Kita tak boleh pertikaikan soal dakwaan saya guna duit MARA RM1 juta untuk kepentingan peribadi sebab itu urusan syarikat. Dia tiada kena mengena pun.
MARA sendiri dah tahu dan tiada masalah selagi kita bayar, beli kelengkapan serta buat bayaran setiap bulan.
MARA beri pinjaman bersyarat. RM1 juta itu perlu dibayar semula, termasuk 16 peratus faedah. Nak dapat pinjaman itu pun bukan senang sebab banyak syarat dan prosedur, malah nak meminjam pun kena ada duit.
Imbas kembali, terdapat dakwaan tular yang mempersoalkan tahap kebersihan kilang pengeluaran pulut kuning miliknya di platform Threads.
Hantaran yang dimuat naik tular sehingga mencetuskan pelbagai reaksi antara netizen. Selain itu, individu berkenaan menggesa siasatan dilakukan terhadap perniagaan milik Zarina.








