berita

‘Saya Tak Pernah Rasa Penat’ – Kisah Anak ‘Hebat’ Jaga Bapa, Datuk & Nenek Sakit Kronik

November 4th, 2020 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Di Facebook, seorang pakar motivasi iaitu Raja Shamri, berkongsi satu kisah mengenai seorang gadis yang dikenali sebagai Atirah. Menurutnya, gadis ini seorang anak yang hebat kerana mampu menjaga bapa, datuk dan nenek yang sakit pada satu masa.

Lebih mengejutkan, dia melakukan semua tanggungjawab tersebut secara sendiri tanpa meminta bantuan daripada mana-mana pihak. Meskipun kehidupan mereka sekeluarga dipenuhi dengan cabaran dan ujian, gadis tersebut sentiasa tabah untuk menghadapinya.

Penuh cabaran dan ujian

Anak hebat. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kehidupan kita di dunia ini penuh dengan cabaran dan ujian. Allah sentiasa menguji hamba-hambanya. Atirah, anak muda yang sangat hebat dan cekal. Dalam dirinya penuh dengan kasih sayang dan rasa tanggungjawab terhadap bapa, datuk dan nenek. Bukan semua mampu menggalas tanggungjawab ini, apatah lagi dalam usia begitu muda begini.

Ayah Atirah tidak dapat berjalan kerana terlibat dalam kemalangan langgar lari pada tahun 2017. Semasa kejadian Atirah berada di dewan peperiksaan, menjawab soalan Peperiksaan SPM hari ke 2. Bapanya lumpuh dari pinggang ke bawah dan terlantar selama bertahun-tahun. Sekarang, Allhamdulillah boleh berada di kerusi roda tapi memerlukan bantuan untuk buang air besar, bangun, makan dan memakai tiub untuk buang air kecil. Bapanya mengalami cacat kekal. Tidak dapat kita bayangkan perasaan anak muda ini, pada dua tahun lepas disaat menghadapi peperiksaan Allah telah menguji dengan berita sedih.

Bapa Atirah anak tunggal dan Atirah dibesarkan oleh bapa, nenek dan datuk kerana ibu dan bapanya bercerai semenjak Atirah kecil lagi. Atirah tidak menyambung pelajaran dan mengorbankan cita citanya menjadi seorang guru demi menjaga ayah tersayang. Ayah yang terlantar selama dua tahun dan perlu penjagaan yang rapi. Anak ini tidak pernah mengeluh. Dijaga bapa dengan penuh kasih sayang dan rasa tanggungjawab. Ya Allah, betapa mulianya hati anak ini.

Menjaga tiga orang sakit

Allah bukan sahaja menguji anak hebat ini dengan bapa yang tidak boleh berjalan, tapi dengan nenek yang terlantar. Nenek menghidapi penyakit tiga serangakai dan kakinya telah di potong pada tahun lepas iaitu tahun 2019. Atirah diuji lagi apabila datuknya pula diserang strok, yang mana menghidapi penyakit tiga serangkai juga serta masalah pendengaran disebabkan gegendang telinga pecah.

Menjaga tiga orang yang sakit dalam satu rumah, bukan sesuatu yang mudah. Masa Atirah 24 jam sehari semalam hanya untuk bapa, datuk dan nenek. Mereka semua perlukan Atirah. Bagunkan nenek, mandikan nenek, basuh berak dan bapa. Bawa bapa, datuk dan nenek ke hospital. Dalam sebulan, lebih daripada tiga kali mereka perlu ke hospital.

Cuba kita bayangkan dengan kudrat Atirah untuk uruskan nenek dan bapa mandi. Ya Allah betapa tabahnya anak ini. Bukan itu saja , Atirah perlu masukan ubat ke dubur bapanya kerana bapanya menggalami masalah buang air besar. Ubat dimasukkan dan perlu dikorek-korek dengan jari untuk melancarkan pembuangan najis. Setiap hari ianya perlu dilakukan. Tangan bapa tidak sampai untuk lakukan semua ini, mungkin kesan daripada kemalangan yang dialami beliau.

Hanya makan telur dengan kicap

Pada pandangan mata kasar mereka seolah- olah orang berada. Rumah tersergam indah tapi di dalamnya kosong, tiada perabot mewah dan keadaannya amat menyedihkan. Rumah yang mereka diami sekarang adalah rumah yang dibina sendiri oleh datuk. Datuk dulu seorang tukang rumah dan datuk menggambil masa sepuluh tahun untuk siapkan rumah ini. Atas tanah pusaka inilah datuk membuat rumah impiannya walaupun mengambil masa yang begitu lama. Sedikit-sedikit dibuatnya sehinggalah siap.

Mereka sekeluarga hanya bergantung sumber kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500 sebulan. Mereka juga mendapat perhatian dan belas ehsan daripada jiran-jiran. Dengan RM500 ratus inilah digunakan untuk beli makanan, pampers, bayar bil api dan segala perbelanjaan. Bil api pun dah banyak yang tertunggak. Pempers pun mereka hanya mampu pakai pempers yang “reject” saja.

Setiap hari mereka sekeluarga hanya mampu makan telur dengan kicap sahaja. Ayam dan ikan jauh sekali. Mereka redha dan menganggap ini semua ujian Tuhan buat mereka. Sambil mengesat air mata yang mengalir nenek berkata nasib baik ada Atirah, kalau tidak tak tahu la nasib kami. Ya kita semua akui, Atirah anak yang baik dan hebat. Kadang-kadang malam tidak dapat tidur andai ada salah seorang daripada mereka mengalami kesakitan.

Pernah masuk wad serentak

Atirah menceritakan ada satu ketika nenek dan bapa dimasukkan ke wad serentak. Nenek tingkat satu bapa tingkat tiga dan datuk dekat rumah. Terkejar-kejar Atirah kesana ke mari. Tapi, Atirah tak pernah rasa penat atau letih kerana mereka semua adalah darah dagingnya. ‘Saya akan cuba yang terbaik buat mereka. Mereka tiada orang lain selain saya, bapa anak tunggal’ tutur Atirah.

Ya Allah sebak hati kita mendengarnya. Allah hadirkan anak sehebat ini .Betapa bertuahnya ibu yang mengandung dan melahirkan anak ini. Dijaga bapa, nenek dan datuk dengan penuh kasih sayang. Keadaan mereka sangat terurus dan keadaan rumah sangat bersih.

Sumber: Raja Shamri

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×