Pelakon, Ozlynn Waty berkongsi bahawa suaminya, Johan Raja Lawak, mengamalkan rutin memeluknya setiap kali pulang dari tempat kerja sebagai cara melepaskan tekanan dan beban yang dihadapi sepanjang menguruskan urusan di luar.

Artikel Berkaitan: ‘Jangan Nilai Orang Bersalin Normal Atau Czer, Semuanya Sakit..Hargai Setiap Kelahiran’ – Ozlynn Waty

Artikel Berkaitan: ‘Miskin Aku Dulu Sampai Pakai Baju Tak Cukup Kain’ – Ozlynn Waty

Lepaskan bebanan kerja

Menerusi satu hantaran di Threads, seorang wanita berkongsi bahawa rumah tangganya pernah melalui fasa yang membosankan apabila dia dan suami semakin kurang berinteraksi serta lebih banyak memberi perhatian kepada telefon bimbit masing-masing.

Bagaimanapun, dia mengakui pada mulanya berasa rimas apabila suaminya gemar memeluknya setiap kali sebelum keluar rumah.

Namun, lama-kelamaan dia menyedari amalan kecil itu sebenarnya menjadi lambang kasih sayang yang mengeratkan lagi hubungan mereka.

Masuk tahun kelima berkahwin, saya dengan suami dah sampai tahap tak ada modal nak borak.

Balik kerja, dia dengan telefon dia, saya dengan telefon sendiri.

Kalau tanya pasal hari ini, jawapannya mesti ‘Okay je’ atau ‘Penat’, Memang membosankan.

Sampai satu hari, suami saya buat perangai pelik.

Setiap kali dia nak keluar rumah, dia akan tarik saya, peluk diam-diam dan lama.

Masa itu saya rasa rimas sangat, ‘Abang ni dah kenapa? Dah la peluh, bau matahari, lepaslah, saya nak cepat ni.’

Hantaran tersebut menarik perhatian Ozlynn Waty, 44, yang mengakui bahawa meskipun ada kalanya dia berasa rimas, suaminya tetap akan mencarinya terlebih dahulu untuk dipeluk sebelum meluangkan masa bersama anak-anak.

Ini la yang suami saya amalkan, dia cakap charge bateri nak habis.

Kadang rimas, sampai sekarang dia balik dari kerja, bagi salam, dia akan sebut, ‘Mana isteri saya, saya nak peluk’.

Anak-anak datang serbu pun dia akan cakap, ‘Sorry I am looking for my wife’.

Lepas peluk saya, dia akan panggil anak-anak pula.

Dalam pada itu, Ozlynn mengakui pelukan suaminya sentiasa memberikan rasa hangat dan penuh kasih sayang.

Ujar Ozlynn lagi, ia sekali gus menjadi simbol peralihan daripada urusan kerja kepada tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak di rumah.

Cara dia peluk sambil pejam mata lama, kita boleh rasa kehangatan badan dan kasih dia.

Sebenarnya itu adalah caranya lepaskan hal kerja di luar, sekarang masa untuk isteri dan anak-anak pula.

Semoga Allah pelihara suami kita semua.

Sekadar info, Ozlynn dan Johan mendirikan rumah pada tahun 2009 dan mereka kini dikurniakan lima orang cahaya mata.

Sumber: Threads